SHAH ALAM: Calon Ahli Parlimen Shah Alam dari Pakatan Harapan (PH), Azli Yusof yakin memenangi kerusi yang ditinggalkan Khalid Abdul Samad yang kini bertanding di Titiwangsa.
Menurut Azli, keyakinan tersebut berdasarkan kempen yang dijalankan pihaknya sejak enam hari lalu.
“InsyaAllah, kita berkeyakinan mendapat (sokongan) daripada warga Shah Alam, kita akan tetap terus bekerja keras menyantuni seberapa ramai rakyat dan merayu supaya mereka memberikan (undi) kepada saya sebagai mewakili mereka di Parlimen nanti.
“Seterusnya memberikan kemenangan kepada PH dan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ke-10 yang akan membuat satu reformasi dan perubahan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kempen Pilihanraya Umum Ke 15 (PRU15) di tapak pasar alam Kampung Padang Jawa di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan 5 November lalu, empat calon akan bertanding di Parlimen Shah Alam pada PRU15 termasuk Azli akan bersaing sesama mereka.
Tiga lagi calon adalah Hizatul Isham Jalil Barisan Nasional (BN), Dr.Afif Bahardin Perikatan Nasional (PN) dan Rafique Rashid (Pejuang).
Mengulas lanjut Azli berkata, selain isu kos sara hidup B40 yang ingin diperjuangkan, beliau akan mengatasi isu banjir di kawasan Parlimen tersebut.
“Banjir boleh berlaku bila-bila masa dan boleh berulang disebabkan perubahan iklim yang sangat ketara pada masa ini, jadi isu banjir ini perlu ada jalan penyelesaian jangka pendek dan juga jangka panjang.
“Kerajaan negeri dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) telah melakukan usaha-usaha mitigasi berbentuk segera seperti menyediakan kolam takungan, pam dan benteng tebatan banjir tetapi ini tidak cukup untuk menghadapi perubahan iklim yang semakin berubah dan perlu kepada usaha yang lebih menyeluruh untuk jangkamasa panjang untuk 30 hingga 40 tahun akan datang,”katanya.
Katanya lagi, pelan induk perlu diwujudkan bagi memastikan banjir tidak berlaku di Lembah Klang. –UTUSAN