KUBANG PASU: Pelakon dan pengarah terkenal, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri menerima ijazah Doktor Pengurusan pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-34 di Dewan Mu’adzam Shah di sini hari ini.
Ahmad Idham, 51, yang bertanding di Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mewakili parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, beliau belum sempat berkempen selepas proses penamaan calon, semalam.
“Saya bertolak dari Port Dickson semalam untuk ke majlis ini. Esok saya akan mula kempen saya di Port Dickson.
“Di Port Dickson saya sudah bergerak tiga bulan awal dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan apabila dicalonkan saya cuma tambah aktiviti di kawasan itu,” katanya ketika ditemui selepas menerima skrolnya pada majlis itu hari ini.
Kata beliau, ijazah iterimanya itu akan memberi kelebihan kepada beliau sebagai calon PRU15 terutama membuktikan keaslian status akademiknya itu yang pernah menjadi pertikaian ramai termasuk netizen.
“Bagi saya, itu yang perlu saya buktikan. Sebelum ini saya menamatkan pengajian saya pada 2019 dan menerima PhD (doktor falsafah), cuma tak ada konvokesyen sebab pandemik. Sebab itu sebelum ini ada suara-suara persoalkan PhD saya termasuk belilah.
“Jadi Alhamdulillah sekurang-kurangnya kini ketika dicalonkan saya tahu ramai yang akan cungkil PhD saya dan buat fitnah. Sebelum ini saya sudah kena, salah seorang daripada pihak satu lagi cakap saya ini PhD beli. Alhamdulillah sudah jawab persoalan itu,” katanya.
PEJUANG
Selain itu, tambah beliau, taraf akademik seperti itu juga diharapkan oleh pucuk pimpinan Pejuang termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai nilai tambah kepada pemimpin parti itu.
Menyentuh kempennya di Port Dickson, kata Ahmad Idham, beliau berharap untuk mengembalikan kawasan itu sebagai hab pelancongan terkemuka.
Seramai 6,611 graduan menamatkan pengajian pada 2021 menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen itu.
Turut menerima ijazah pada sesi pertama itu ialah komposer dan penulis lirik, Azmeer atau nama sebenarnya, Dr. Mohd. Azhar Abu Bakar, 56, yang juga Felo UUM menerima ijazah Doktor Falsafah (Pengurusan Industri Kreatif Warisan Budaya).
Mohd. Azhar berkata, ijazah diterimanya sangat membanggakan terutama setelah dapat menunaikan impian bapanya, Abu Bakar Mohd Ishak, 87.
“Selain itu saya juga berharap untuk mencurah ilmu kepada generasi muda. Saya juga berhasrat untuk membukukan tesis saya untuk dikongsi orang ramai,” katanya yang juga pensyarah UUM.- UTUSAN