KOTA TINGGI: Isu calon luar yang dimainkan pihak Perikatan Nasional (PN) Kota Tinggi hanya sekadar mahu menutup calon anak beranak yang ditampilkan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, calon tempatan yang ditampilkan parti itu juga tidak bermakna jika mempunyai ‘DNA’ lompat.
“(Isu calon luar) mungkin hendak tutup faktor sebagai calon tempatan dengan menamakan anak beranak. Dahulu bertanding di DUN anak, sekarang di Parlimen pun anak, mungkin itu faktor (isu calon luar dimainkan) supaya (calon anak beranak) tidak timbul.
“Sebenarnya, kalau teliti seolah-olah satu parti itu milik seseorang. Apa makna calon tempatan, tetapi dalam DNA dia lompat. Saya kalau berjaya, saya tahu macam mana saya berjaya di mana yang menjayakan saya adalah pengundi di sini, maka saya tidak lompat.
“Pokoknya, saya setia di sini dan saya terjemah dengan bawa kemajuan yang sebenarnya penduduk impikan, itu sebenarnya. Bukan soal anak tempatan, kita anak tempatan tetapi DNA lompat semata-mata hendak naikkan anak, saya ingat kena fikirlah banyak kali,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diumumkan secara rasmi sebagai salah seorang daripada tiga calon yang bertanding di Parlimen Kota Tinggi pada PRU15 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Kota Tinggi hari ini.
Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu ialah Mohamad Ridhwan Rasman daripada Perikatan Nasional (PN) yang juga anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain dan Onn Jaafar yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
CALON
Nama kesemua calon diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datin Paduka Hazlina Jalil pada pukul 10.28 pagi.
Terdahulu, Mohamad Ridhwan menghantar borang pencalonan pada pukul 9.02 pagi, diikuti Mohamed Khaled empat minit kemudian, diikuti Onn pada pukul 9.12 pagi.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, usaha membangunkan Parlimen Kota Tinggi bukan sahaja memerlukan pemimpin berpengalaman, malah yang ada hubungan baik di peringkat kerajaan negeri.
“Dalam kita berdepan pilihan raya, kita tidak boleh lari daripada hakikat kerajaan negeri sudah dibentuk dan kerajaan negeri adalah BN. Sudah tentu sangat penting penduduk Kota Tinggi yang hendakkan perubahan kemajuan kena sedari bahawa soal hendak penuhi kehendak mereka kena ada kerjasama kerajaan negeri.
“Ini salah satu faktor penting perlu ambil kira. Kedua kita juga inginkan ada kerajaan Pusat yang stabil seperti sedia maklum BN sertai PRU untuk bawa kestabilan kepada negara. Kita tahu ia jadi asas buat negara dan kita harap rakyat dapat buat penilaian yang baik dalam dua minggu ini,” katanya.- UTUSAN