BUKIT MERTAJAM: “Saya bagi jaminan Pulau Pinang sehingga hari ini masih lagi ‘very cool’ (sangat tenang). Jadi, kita terimalah apa sahaja keputusan (siapa calon).”
Itu kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika ditanya mengenai situasi semasa politik di negeri ini menjelang pengumuman calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), malam ini.
Musa berkata, kebiasaannya, pemilihan akan dibuat berdasarkan senarai nama yang dihantar di peringkat bahagian sahaja.
Sehubungan itu katanya, tidak wujud ‘perbalahan’ dalaman yang boleh menggugat keharmonian dalam parti itu memandangkan rata-rata calon adalah calon tempatan.
“Di Pulau Pinang, kita pilih pemimpin masyarakat. Kita tak pilih yang lompat dari satu tempat ke tempat yang lain (calon lompat parti). Tak ada calon ‘hang’ hari ini bertanding di sini, esok tempat lain.
“Tapi kalau calon dekati masyarakat, itu kita bagi peluang. Kita tak ‘import’ calon luar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pas Perjalanan Mingguan dan Bulanan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Sektor Utara di sini hari ini.
Mengulas lanjut Musa berkata, BN Pulau Pinang akan cuba memenangi lebih daripada dua kerusi Parlimen pada pilihan raya umum kali ini.
“Kita akan beri ‘tamparan’ hebat pada kali ini,” katanya yang bagaimanapun enggan memperincikan calon yang terpilih sehingga pengumuman rasmi dibuat malam ini.
Pengumuman calon BN dijadual dibuat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – UTUSAN