KOTA BHARU: Pas minta semua pihak supaya merujuk isu gambar bulan berwarna biru secara terus kepada Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz selepas penyandang kerusi Parlimen Bachok itu membuat hantaran dalam laman sosial Facebook miliknya semalam.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, beliau tidak mempunyai kepandaian untuk membuat tafsiran tersebut.
“Itu kena tanya tuan badan (Nik Mohamad Abduh). Lagipun berkata perkara tersebut diluar pengetahuan saya,” katanya selepas diminta mengulas tindakan Nik Mohamad Abduh selepas selepas menghadiri Majlis Amanat Khas Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim hari ini.
Utusan Online hari ini melaporkan, tindakan Nik Mohamad Abduh memuat naik gambar bulan berwarna biru dalam laman sosial Facebook miliknya semalam mencetuskan pelbagai polemik dalam kalangan warganet.
Gambar tersebut mendapat perkongsian sebanyak 158 tanda suka dan mengundangkan lebih 1,400 komen yang ditinggalkan oleh warganet.
Difahamkan nama anak kepada Mursyidul Am Pas dan juga Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu tidak tersenarai sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beberapa jam selepas itu, Nik Mohamad Abduh membuat satu lagi hantaran yang seolah-olah menggambarkan kesedihan beliau.
Pada PRU-14 lalu, Nik Mohamad Abduh yang bertanding di Bachok berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan PKR, Mohd Zulkifli Zakaria dengan majoriti 3,292 undi.
Nik Mohamad Abduh memperoleh 36,188 undi, BN (32,896) dan PKR (4,880). –UTUSAN