DOHA : Pengendali Jerman, Hansi Flick enggan menyalahkan kekalahan mengejut 1-2 Jerman kepada Jepun atas protes yang dilakukan mereka sebelum sepak mula.
Pemain Jerman menutup mulut mereka semasa bergambar sebagai tanda protes kerana tidak dibenarkan memakai lilitan pelangi One Love.
Pemain Jerman juga mengenakan baju latihan dengan lengan berwarna pelangi dan ada yang mempunyai jalur pelangi pada but mereka.
Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser juga dilihat memakai lilitan One Love ketika dia menonton perlawanan itu bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Flick berkata, protes berkenaan itu tidak mengganggu tumpuan pemainnya di atas padang.
“Tidak, kami tidak mencari alasan. Itu terlalu murah untuk saya. Ada sedikit kekurangan keyakinan dengan bola oleh barisan pertahanan dalam soal memegang bola dan membuat hantaran.
“Pada separuh masa kedua kami terlalu berharap kepada bola lambung selepas hantaran pendek yang selalu kami mainkan dapat dipatahkan dengan mudah oleh pemain Jepun.
“Anda merasakan bahawa tidak semua pemain benar-benar mahukan bola. Kami kehilangan bola terlalu kerap dan terlalu mudah. Sudah tentu dengan kekalahan ini dan kosong mata, kami berada di bawah tekanan,” kata Flick.
Selain itu, Flick juga mahu barisan pemainnya tampil lebih berani menentang Sepanyol pada Ahad ini
“Kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri, kami perlu memastikan kami boleh keluar daripada situasi ini, kami perlu berani, kami perlu lebih agresif dalam permainan yang diperlukan pada Piala Dunia.
“Jepun lebih cekap, kami membuat kesilapan yang tidak sepatutnya kami lakukan, terutamanya di Piala Dunia.
“Saya cukup pasti kami boleh melakukan lebih baik kerana kami ada kualiti tetapi, kami perlu mengekalkannya selama 90 minit. Ia adalah peluang yang terlepas dan permulaan yang buruk untuk kami,” katanya. – Agensi/UTUSAN