KOTA TINGGI: Menyelesaikan isu beg sekolah berat selain menyediakan pendidikan universiti percuma bagi anak-anak daripada keluarga B40 akan tercapai menerusi revolusi pendidikan yang tersenarai dalam manifesto Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada peringkat awal, Perancangan Amal dan Usaha (Padu) juga menawarkan program asuhan dan pendidikan nasional percuma kepada semua kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.
Ini bermakna, katanya, ibu bapa atau pasangan muda sudah tidak perlu gelisah dan tertekan dengan tekanan kos sara hidup dan kesukaran memberikan pendidikan awal yang baik.
Menurutnya, selain meringankan kos sara hidup, perubahan sistem yang radikal itu akan turut membawa kesan positif lain yang besar.
Katanya, misalnya, ia membolehkan lebih ramai wanita untuk terlibat atau kembali ke alam pekerjaan dengan lebih tenang dan selesa serta dikecualikan sepenuhnya daripada cukai pendapatan selama lima tahun.
“Di peringkat sekolah pula, revolusi besar-besaran yang BN tawarkan menerusi Padu adalah sistem persekolahan tanpa buku teks. Ini adalah satu lagi perubahan radikal.
“Saya akui, untuk menjayakan perkara ini bukan mudah. Setahun dua, pasti banyak kelemahan dan kekurangan. Malah, kita boleh menjangkakan, proses mengagihkan komputer riba kepada semua pelajar B40 yang memerlukan kelak akan mengambil masa.
“Malah untuk menjayakan inisiatif ini, komitmen BN untuk memastikan semua sekolah menerima 100 peratus liputan 5G dalam masa 18 bulan mesti disempurnakan tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled yang juga calon BN Parlimen Kota Tinggi percaya, biar sesukar mana pun revolusi itu, BN mesti berani mengambil langkah mula.
“Lama-kelamaan sistem berkenaan pasti akan menjadi lebih baik dan semakin mantap. Bayangkan, sistem persekolahan Malaysia tidak perlu lagi dibelenggu isu beg sekolah berat, kos mencetak buku teks yang tinggi dan pelbagai lagi.
“Sukatan dan kandungan pembelajaran juga boleh disemak dan dikemas kini selalu dengan mudah dan murah. – UTUSAN