Buat pertama kali, Ahmad Zahid dicabar tiga calon  - Utusan Malaysia

Buat pertama kali, Ahmad Zahid dicabar tiga calon 

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Parlimen Bagan Datuk menyaksikan pertembungan empat penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), paling ramai dalam sejarah pilihan raya di kawasan tersebut sejak 1986.

Penyandang kerusi parlimen itu selama lima penggal, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, 69, dicabar oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin, 47, daripada Pakatan Harapan (PH) dan Dr. Muhammad Faiz Na’aman, 39, dari Perikatan Nasional (PN).

Turut bertanding ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail, 71, yang bertanding sebagai calon Bebas dengan menggunakan simbol Kunci.

Shamsul Iskandar adalah bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya manakala Dr. Muhammad Faiz adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Tawfik pula adalah anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang meninggal dunia pada Ogos 1973.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah, membuat pengumuman itu pada pukul 11 pagi di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini.

Pada PRU14, Ahmad Zahid yang kini Pengerusi BN dan Presiden UMNO, memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 5,073 dalam pertembungan tiga penjuru.

Sepanjang lima penggal menjadi Ahli Parlimen, majoriti terbesar pernah diperolehi Ahmad Zahid ialah ketika pertama kali bertanding PRU pada 1995 dengan majoriti 14,830 dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon Parti Semangat 46.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga pernah memenangi PRU11 pada 2004 dengan majoriti 12,539 undi tetapi merosot kepada 2,692 undi dalam PRU berikutnya pada 2008.

Untuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rungkup dan Hutan Melintang menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Bagi DUN Rungkup, penyandang kerusi itu, Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN) ditentang oleh Mohd. Mokheri Jalil (PN) dan Ahmad Munzirie Ahmad Kabir (PH).

Sementara itu, DUN Hutan Melintang menyaksikan penyandang, Datuk Khairuddin Termizi (BN) dicabar oleh Khairuj Nizam Marsom (PN) dan S. Vasanthi (PH). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya