BN+PN lawan PH atau BN+PH lawan PN? - Utusan Malaysia

BN+PN lawan PH atau BN+PH lawan PN?

Debaran menunggu keputusan PRU15 pada Sabtu ini. Gabungan mana akan menang?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerjasama antara gabungan parti dijangka berlaku bagi membentuk Kerajaan Persekutuan susulan tiada parti yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Ini kerana beberapa pihak termasuk badan penyelidikan, penganalisis politik mahupun ahli-ahli politik sendiri menjangkakan tiada parti yang dominan selepas berakhir pengundian nanti.

Perkara ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana pilihan raya umum kerana berdasarkan sejarah, parti pemerintah berjaya membentuk kerajaan sama ada majoriti dua pertiga atau majoriti mudah tanpa perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Malah, parti yang dapat membentuk kerajaan biasanya sudah bekerjasama sebelum pilihan raya se­perti yang berlaku pada 1974 apabila Barisan Nasional (BN) menang 135 kerusi selepas dianggotai Pas pada 1972 yang menyumbang 13 kerusi ketika itu.

BN juga meraih majoriti dua pertiga pada PRU 2004, majoriti mudah (140) pada PRU 2008 dan 133 kerusi pada PRU 2013 tanpa perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Pakatan Harapan (PH) pula berjaya membentuk kerajaan setelah meraih 121 kerusi pada PRU14, setelah pakatan itu dibentuk antara PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan pakatan pilihan raya dengan Warisan.

KERJASAMA

Namun, dalam PRU15, parti-parti sering dikaitkan dengan kerjasama antara satu sama lain terutamanya BN, PH dan Perikatan Nasional (PN).
BN, PN

Sejak awal kempen lagi, BN sering dikaitkan dengan kerjasama dengan beberapa pihak termasuklah PN selepas PRU15.

Kerjasama antara BN dan PN tidak mustahil kerana kedua-dua parti ini sudah dua kali be­kerjasama membentuk kerajaan iaitu ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020 dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak tahun lalu.

Malah, Pas dilihat agak terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO selepas PRU15 walaupun ditentang oleh Bersatu.

Seandainya gabungan antara BN dan PN memenangi sekitar 80 kerusi, dengan selebihnya disumbangkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bertanding 24 kerusi dan Gabu­ngan Parti Sarawak (GPS) yang bertanding 31 kerusi, kerjasama ini akan dapat membentuk kerajaan yang stabil.

Namun, kerjasama ini perlu memastikan isu penarikan sokongan ahli parlimen seperti yang berlaku kepada Muhyiddin dan Ismail Sabri tidak berulang dalam tempoh lima tahun mentadbir negara.

TERBUKA

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan partinya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, selepas sering dikaitkan dengan politik khemah besar.

Bagaimanapun, kerjasama antara PH dan PN dilihat hampir mustahil apabila kedua-dua parti itu telah isytihar untuk tidak bekerjasama dengan satu sama lain terutama dalam PRU15.

Namun, seandainya PH meraih sekitar 90 kerusi seperti didakwa Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, ia mungkin akan menarik perhatian PN untuk bekerjasama jika mereka meraih sekitar 30 ke 40 kerusi sekali gus dapat membentuk kerajaan.

Kerjasama itu bagaimanapun hanya akan berlaku dengan lancar jika PH boleh mene­rima Bersatu manakala Pas boleh menerima DAP, kerana jika tidak, kerjasama ini boleh menyebabkan berlaku pertukaran kerajaan selepas PRU15.

PH sendiri menagih kerjasama dengan pihak lain, malah Anwar mengharapkan dapat bekerjasama dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak bagi membentuk kerajaan yang stabil.

PIHAK

BN dan PH sering dikaitkan dengan kerjasama sejak sebelum PRU15, namun dinafikan kedua-dua belah pihak.

Malah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa BN akan bekerjasama dengan PH selepas PRU15, namun dinafikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, BN dan PH dijangka meraih paling banyak kerusi dalam PRU kali ini. Sekiranya BN dan PH meraih lebih 100 kerusi, dengan sokongan GPS, kerjasama ini akan dapat membentuk kerajaan yang paling stabil dalam sejarah.

Ini dapat dilihat menerusi hubungan baik antara Ismail Sabri dan Anwar ketika memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang dimeterai pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan keyakinan bahawa partinya dapat membentuk Kerajaan Persekutuan secara solo dan meraih majoriti mudah 112 kerusi tanpa kerjasama dengan pihak lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga yakin BN dapat membentuk kerajaan bersama GPS selepas PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya