KANGAR: Kesedaran masyarakat Cina terhadap perkembangan politik semasa antara faktor membuatkan Barisan Nasional (BN) yakin merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan selepas dua penggal dikuasai PKR.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, keyakinan itu timbul selepas masyarakat Cina di kawasan itu mula menyedari kesilapan mereka pada pilihan raya lalu.
“Rakyat mengharapkan pembangunan di kawasan mereka selepas memilih calon dari parti lain bukan seperti calon pembangkang apa yang telah dibuat sepanjang menguasai DUN itu, hanya beri sayur dan kurma sahaja.
“Pengundi boleh menilai sendiri janji yang tidak ditepati. Kita nampak tanda-tanda positif dalam kalangan pengundi Cina dan India yang sedar penipuan sebelum ini malah janji kosong,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan bilik gerakan DUN Indera Kayangan di sini hari ini.
Turut hadir calon BN Indera Kayangan, Lim Weng Khee atau lebih dikenali sebagai Ah Khee dalam kalangan penduduk setempat.
Dalam PRU14, Gan Ay Ling dari PKR memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 3,177 undi mengatasi wakil BN dan Pas.
Pilihan raya kali ini bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di mana penyandang kerusi itu, Ay Ling (PH) akan dicabar oleh P. Pramoot (PN), Atan Jasin (Warisan) dan Lim Weng Khee (BN).
Tambah Menteri Besar yang juga calon DUN Bintong, gerak kerja jentera BN semakin positif apabila mendapat pertambahan sokongan kira-kira 2,000 pengundi Cina setakat ini.
“Saya berharap sokongan kepada BN itu menjadi realiti dan dimuktamadkan pada hari pengundian nanti. Kita nak kerajaan yang stabil, kerajaan stabil perlukan kerusi lebih, bukan cukup-cukup sahaja,” katanya.
Tambahnya, BN melaksanakan kerja dan rakyat sudah melihat sumbangan kerajaan dalam tempoh lima tahun ini berbanding dilakukan pihak pembangkang. –UTUSAN