BN terbuka terima keputusan Kazim

BN terbuka terima keputusan Kazim

USTAZ Kazim Elias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sorakan gemuruh yang diterima Datuk Mohd. Kazim Elias ketika diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Larut semalam hanya sia-sia selepas beliau dalam tempoh 24 jam memutuskan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, seluruh kepemimpinan dan ahli BN menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan menyerahkan kebijaksanaan pengundi di Larut untuk memilih calon yang dirasakan mampu membawa suara mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Johan Abd. Aziz berpendapat, keputusan Mohd. Kazim atau dikenali sebagai Ustaz Kazim menarik diri berkemungkinan besar selepas penceramah bebas itu mengkaji sedalam-dalamnya penglibatannya dalam dunia politik selain faktor peribadi.

Pun begitu, BN tidak meletak calon ‘asal boleh’ bagi menggantikan Ustaz Kazim sebaliknya mempertaruhkan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud yang memiliki sikap dan perwatakan sebagai seorang pemimpin muda.

“Jadi, kalau ditanya sama ada mempertaruhkan Mohd. Shafiq Fhadly boleh memberi kemenangan kepada BN atau tidak, saya berpandangan beliau boleh menang, namun, ia juga terserah kepada pengundi di Parlimen berkenaan.

“Cuma, bagi saya, Mohd. Shafiq Fhadly merupakan seorang individu yang berbakat, berkebolehan, berketrampilan dan yang penting anak muda. Jadi, kenapa tidak beri peluang kepada beliau untuk tabur bakti di kawasan berkenaan. Saya yakin beliau boleh menawan kerusi di Larut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Johan yang juga merupakan calon BN Parlimen Hulu Langat, pelbagai situasi boleh berlaku dalam pemilihan calon parti, namun, uniknya BN sentiasa terbuka dan membuka pintu perbincangan.

“Itulah uniknya BN. Kita ada perundingan, perbincangan tetapi tidaklah kecoh sehingga bertumbuk seperti parti ‘sebelah sana’. Kita lakukan secara aman,” jelasnya.

Terdahulu, Mohd. Syafiq Fhadly diumumkan bertanding di kerusi Parlimen Larut menggantikan Ustaz Kazim  yang menarik diri pagi ini daripada bertanding mewakili BN di Parlimen berkenaan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya