BN tawar inisiatif perancangan kemakmuran di Port Dickson - Utusan Malaysia

BN tawar inisiatif perancangan kemakmuran di Port Dickson

P. Kamalanathan (tiga dari kiri) ketika membentangkan Perancangan Kemakmuran Port Dickson pada sidang akhbar di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Perancangan Kemakmuran Port Dickson merangkumi agenda pendidikan dan pembangunan sosio ekonomi antara inisiatif yang akan ditawarkan Barisan Nasional (BN) Parlimen Port Dickson jika mendapat mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon BN Parlimen Port Dickson, Datuk P.Kamalanathan berkata, tawaran itu merangkumi lima perkara asas dan 29 perincian yang akan dilaksanakan hasil maklum balas daripada lebih 30,000 pengundi.

“Perancangan Kemakmuran Port Dickson merupakan janji kami kepada rakyat mengambil kira 60 peratus anak muda yang berada di perantauan dan belajar di institut pengajian tinggi serta golongan wanita selain pembangunan pelancongan.

“Kami akan wujudkan pasukan Pelan Amal dan Usaha (Padu) bagi memastikan apa yang ditawarkan dapat dilaksanakan, secara peribadi saya akan maklumkan status di media sosial Facebook dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Kamalanathan, apa yang ditawarkan oleh BN tidak akan dimungkiri dan berharap rakyat tidak terperangkap dengan janji pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Kamalanathan, walaupun dianggap calon ‘underdog’ dan berdepan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH), namun beliau yakin BN mampu merampas semula kerusi Parlimen Port Dickson.

“Saya berpuas hati dengan kempen yang dijalankan sepanjang dua minggu ini hasil daripada kerjasama semua jentera BN. Kami sudah buat yang terbaik dan jumpa hampir kesemua pengundi, sebagai manusia kami hanya merancang untuk menang hakikatnya tuhan sudah menentukan siapa pemenang dan malam esok akan terjawab,” katanya.

Beliau berkata, antara tawaran BN kepada rakyat di Port Dickson adalah mewujudkan Port Orang Muda, PD Kerja, Seapreneur Belia, menaik taraf kemudahan Kompleks Sukan Telok Kemang dan mencungkil bakat masa depan dalam e-sukan.

Selain itu, katanya, BN menawarkan inisiatif Usahanita PD, pemberian kit kebersihan wanita, kebajikan orang kurang upaya (OKU) dan Orang Asli, PD TVET Bootcamp, Dasar Satu Keluarga Satu Graduan, pembinaan sekolah berasrama penuh atau maktab rendah sains Mara (MRSM), PD Niaga serta pembinaan jeti menghubungkan Port Dickson dan Pelabuhan Dumai di Sumatera, Indonesia.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya