SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat dakwaan membabitkan salah laku calonnya termasuk perbelanjaan melebihi had pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan sewajarnya boleh dikenakan oleh SPR sekiranya terbukti wujud salah laku membabitkan calon mana-mana parti.
Malah, menurut beliau, BN sama sekali tidak akan menyembunyikan salah laku yang dilakukan calon yang bertanding mewakili parti itu.
“Saya serah bulat-bulat kepada SPR. Jika ada salah laku, mereka ambillah tindakan. Saya tidak pernah sembunyi apa-apa kepada pengundi,” katanya selepas Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin BN di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden MIC yang juga calon Parlimen Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun dan calon DUN Jalong, Pan Chean Chang.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, siasatan y SPR itu bagaimanapun perlu dijalankan secara telus dan tidak didedahkan.
“Kita ada agensi yang memantau kalau ada kesilapan tidak kira daripada parti mana. Harap SPR ambil tindakan yang sewajarnya.
“Biar proses dan tindakan itu tidak digembar-gemburkan, tidak digunakan sebagai bahan politik murahan menjelang hari pengundian pada 19 November ini,” katanya.
PELANGGARAN
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan dakwaan seorang calon PRU15 berkaitan wujudnya pelanggaran di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 1957 di mana terdapat calon telah berbelanja melebihi had perbelanjaan RM200,000 sepanjang kempen berlangsung.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha BN Perak, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah Nasional meminta SPR memantau kewujudan poster dan papan iklan gergasi kempen PRU yang boleh mengancam dan membahayakan keselamatan orang ramai.
Menurut beliau, ada poster yang dipasang di tepi jalan itu menggunakan kayu dan besi bagi menguatkan strukturnya sekali gus boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
“Kita minta SPR lihat setiap binaan itu kerana ada kemungkinan kayu atau bahan lain akan jatuh ke atas jalan raya. Kita tidak dengki cuma khuatir ia tumbang dan wujudnya kecelakaan,” katanya di sini hari ini.
Aminuddin yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 berkata, bagi BN pihaknya tidak melihat pemasangan iklam gergasi seperti itu sebagai satu keperluan.
“Kami sebaliknya akan menggunakan pendekatan tersendiri dalam mendekati pengundi di Tambun” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPR negeri Mohd. Nazri Ismail berkata, saiz papan iklan kempen PRU tidak menjadi isu asalkan terdapat nama penerbit dan tidak dipasang di lokasi yang membahaya orang lain.
“Selain itu kandungan juga tidak boleh provokasi atau fitnah kepada individu.
“Setiap hari pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya membuat kerja. Yang salah akan diberikan notis dan jika tidak akan diturunkan oleh wakil calon atau Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR),” katanya. – UTUSAN