BN Pulau Pinang turut nafi dokumen tular sokong Zahid sebagai

BN Pulau Pinang turut nafi dokumen tular sokong Zahid sebagai PM

MUSA SHEIKH FADZIR bersama-sama barisan calon BN yang akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU-15 pada majlis penyerahan watikah calon BN Pulau Pinang di Teluk Kumbar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang turut menafikan kesemua 13 calon kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu menandatangani aku janji supaya  mencalonkan dan menyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri.

Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, selaku wakil yang mengambil watikah pencalonan bagi kerusi Parlimen di Pulau Pinang, perkara seperti yang didakwa itu tidak wujud dan tidak pernah berlaku.

Malah, beliau menegaskan BN khususnya Ahmad Zahid sendiri sudah berkali-kali menyatakan Datuk Ismail Sabri Yaakob ialah calon atau ‘poster boy’ bagi jawatan Perdana Menteri sekiranya parti itu berjaya membentuk Kerajaan Pusat selepas PRU-15.

‘Tak betul, tak betul..tidak ada perjanjian yang menyatakan calon-calon kerusi Parlimen termasuk 13 orang daripada Pulau Pinang ini perlu tandatangan aku janji yang akan sokong Ahmad Zahid sebagai PM.

“Dari awal-awal lagi Ahmad Zahid sudah umum jika BN menang dan kita memerintah, “poster boy’ kita sebagai PM ialah Ismail Sabri, kita sudah buat keputusan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan watikah calon BN Pulau Pinang di Teluk Kumbar, di sini hari ini.

Awal hari ini, satu dokumen dengan kepala surat UMNO yang memaparkan tandatangan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO serta Pengerusi BN dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tular  dalam media sosial.

Dokumen aku janji itu antara lain menyatakan ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada PRU-15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Dokumen itu turut menyatakan ikrar untuk menyokong sebarang tindakan Presiden UMNO dalam sebarang perancangan dengan parti atau pakatan politik lain jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan dengan majoriti mudah selepas PRU-15.

Dalam pada itu, Musa menyifatkan tindakan pihak menularkan dokumen palsu tersebut disebabkan kerana tidak mempunyai isu lain untuk menyerang dan  memecah-belahkan BN.

“Tetapi insya-Allah, saya yakin rakyat bijak menilai dan tidak terpedaya dengan fitnah seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Musa turut melahirkan keyakinan BN Pulau Pinang dapat mempertahankan dua Parlimen seperti yang dimenangi pada PRU-14 iaitu kerusi Kepala Batas dan Tasek Gelugor selain meletakkan sasaran merampas beberapa kerusi lain yang ditandingi.

Tambah beliau, BN Pulau Pinang juga memperlihatkan pengorbanan yang tinggi dan bebas daripada persengketaan dalaman apabila turut memberikan kerusi tradisi kepada parti mesra BN iaitu di Nibong Tebal; Jelutong dan Bukit Bendera.

Kesemua kerusi itu akan menyaksikan buat pertama kali penyertaan calon daripada Makkal Sakti; Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang bertanding sebagai rakan BN atau ‘Friends of BN’. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya