PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) akan merangka satu akta khusus bagi melindungi hak, kebajikan dan pendapatan pekerja gig ekoran sektor itu semakin berkembang khususnya kini penglibatan ramai anak-anak muda.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu, BN berjanji untuk menggubal Akta Penjagaan Warga Emas dan memantapkan fungsi dan keupayaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan pusat penjagaan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dengan peruntukan RM105 juta untuk lima tahun.
Jelasnya, BN sedar kerana memandangkan Malaysia sedang bergerak menjadi sebuah negara tua, maka perubahan radikal ketiga yang akan dilakukan adalah mewujudkan ekosistem perlindungan dan penjagaan warga emas yang lebih baik.
“Semua ini adalah pembaharuan struktural yang kita perlukan untuk melonjak Malaysia menjadi negara yang meletakkan kesejahteraan dan keadilan sosial pelbagai kumpulan masyarakat pada tahap terbaik dan selayaknya,” katanya dalam pengumuman Manifesto BN hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan tawaran baharu BN iaitu Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia atau Padu yang mengariskan 99 usaha yang akan menjadi panduan dalam mengemudi tanah air kita menjadi negara berkemajuan tinggi. –UTUSAN