PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) diibaratkan sebagai perkahwinan mutaah atau sementara.
Sehubungan itu, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, bukan sesuatu yang menghairankan jika pemimpin parti berkenaan mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung pendirian mereka.
“Saya saya fikir gabungan Pas dan juga Bersatu ini merupakan satu perkahwinan yang kalau dalam istilah ini dipanggil mutaah atau perkahwinan sementara.
“Pas ada pemikiran sendiri dalam nak buat keputusan dan Bersatu pula macam penuh dengan emosi. Jadi, saya fikir mereka tak mempunyai pendirian bersama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pekebun Kecil Risda Makmur Negeri Kedah di Kampung Musa, Pedu di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa PN diyakini dapat membentuk kerajaan hasil gabungan parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kenyataan itu bagaimanapun disanggah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan gabungan itu tidak pernah memberi kebenaran kepada Takiyuddin untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Sementara itu, kata Mahdzir, BN kekal mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri sekiranya meraih kemenangan dalam PRU15.
“UMNO dan BN memutuskan secara konsensus bahawa beliau adalah calon Perdana Menteri selepas daripada PRU15 jika BN menang. Tapi. isu ini selalu dimainkan pembangkang untuk memecah belahkan kepemimpinan dalam BN agar nampak seolah-olah kita berpecah.
“Tapi, kita sebenarnya tidak berpecah, malah, dalam musim kempen pilihan raya ini kita berjumpa Perdana Menteri bersama pemimpin UMNO lain, kita tegaskan mahu Datuk Seri Ismail Sabri (jadi Perdana Menteri),” katanya.
Dalam perkembangan lain, sebanyak 26,348 permohonan daripada pekebun kecil getah yang terjejas pendapatan akibat musim tengkujuh diterima Risda setakat ini membabitkan pengusaha dan pemilik daripada golongan pekebun kecil getah di seluruh Kedah.
“Setakat hari ini, seramai 16,889 penerima dikreditkan bayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi fasa pertama berjumlah RM300 setiap orang. Bagi Padang Terap, peruntukan keseluruhan BMT adalah sebanyak RM2.57 juta dengan sasaran agihan 10,886 pekebun kecil.
“Sejumlah 3,077 permohonan diluluskan dan 2,987 pekebun kecil daerah itu menerima bayarannya. Ini menunjukkan prestasi yang baik oleh pihak Risda dalam memastikan penyaluran bantuan ini sampai kepada golongan sasar dalam masa yang ditetapkan.
Tambah Mahdzir, bayaran fasa pertama akan terus dilaksanakan sepanjang bulan ini kepada baki pekebun kecil yang masih belum menerimanya sebelum bayaran fasa kedua sepanjang Disember secara berperingkat. –UTUSAN