PUTRAJAYA: Beri peluang hanya satu penggal, segala isu pengguna yang dibebani rakyat sejak sekian lama akan diatasi sebaik mungkin.
Itu janji dan tawaran dikemukakan calon bebas P125 Putrajaya, Samsudin Mohamad Fauzi yang bukan hanya kepada pengundi di Putrajaya sebaliknya seluruh rakyat Malaysia.
Samsudin berkata, beliau hanya mahu menjadi satu suara di Parlimen dan ia mencukupi bagi merungkai segala isu kepenggunaan di negara ini.
Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dianggap bersejarah kerana tiga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna tampil bertanding.
“Selain saya, wakil lain adalah dari Persatuan Pengguna Kedah Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff yang mewakili Pejuang dan Ravinder Singh dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM).
“Kami adalah tiga NGO pengguna di negara ini yang paling dekat dengan rakyat khususnya dalam menyelesaikan isu pengguna. Sudah tiba masanya, rakyat beri mandat kepada kami. Jangan pula bila nak sokong, cari ahli politik, bila susah cari kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, beliau dapati tiada satu manifesto atau tawaran dikemukakan mana-mana gabungan politik yang ingin memperjuangkan isu pengguna.
Samsudin berkata, sehingga kini, tiada satu pun isu pengguna diatasi, malah rakyat masih berdepan isu bekalan telur, minyak masak dan kenaikan harga barangan keperluan di pasaran.
“Saya macam orang lain juga, kalau nak beli telur kena cari banyak tempat tak kan mahu tunggu depan reban ayam tunggu ayam bertelur.
“Isu ini timbul disebabkan negara masih lagi bergantung kepada 60 peratus bekalan import. Justeru, kerajaan harus wujudkan lebih ramai pengusaha tempatan dan perkasakan produk lokal,” katanya.
Katanya, jika tidak terpilih pun nanti, beliau akan tetap memperjuangkan isu pengguna menerusi medan NGO, namun perjuangan itu agak terbatas disebabkan tiada suara dan mandat di Parlimen.
Ditanya mengenai penyelesaian isu kartel, Samsudin berkata, isu itu boleh diatasi jika kerajaan lebih tegas dan tidak takut dengan kartel berkenaan.
“Jika takut dengan kartel, jangan jadi pemimpin dan bagi kepada individu yang berani dan kental,” katanya.
Sejak hari penamaan calon sehingga Jumaat lalu, Samsudin banyak menggerakkan kempennya menerusi media sosial dan seminggu berbaki ini, beliau akan kerap bertemu seramai mungkin pengundi di Putrajaya. – UTUSAN