AL THUMAMA: Meskipun fasih bertutur dalam empat bahasa, namun Kevin De Bruyne tidak memerlukan mana-mana daripadanya bagi meluahkan kemarahannya terhadap malapetaka yang menghempap Belgium apabila tewas 0-2 kepada Maghribi.
Pemain tengah Manchester City itu ‘bercakap’ dengan bahasa tubuhnya sambil melipat dan mengepakkan tangannya dalam kekecewaan yang disaksikan ramai orang.
Walaupun dianggap berkemampuan membaca permainan lawan, Belgium bagaimanapun masih pasukan yang mudah diceroboh berdasarkan aksi bertemu Kanada, Khamis lalu dan pada kali ini dihukum oleh Maghribi yang mempamerkan persembahan berani serta bersemangat.
Kekalahan itu menjadikan pemain Belgium berkerut dahi sekali gus membuktikan kurangnya keyakinan pemain dalam skuad itu sendiri.
Sebelum ini wujud ramalan mereka tidak berpeluang memenangi Piala Dunia 2022 walaupun pelik untuk diterima, namun Stadium Al Thumama menjadi saksi jelas skuad bimbingan Roberto Martinez itu sememangnya tidak mampu menjulang trofi.
Malah, Thibaut Courtois yang dianggap penjaga gawang terbaik dunia diselamatkan oleh rakaman video pembantu pengadil bagi kesilapan pertamanya, namun tiada lagi perlindungan untuknya selepas sepakan percuma Abdelhamid Sabiri meluru di bawah badannya.
Jika boleh diringkaskan jurang antara kedua-dua pasukan ini, Maghribi boleh dikatakan pasukan yang agresif manakala Belgium pula pasukan yang rapuh dan menjemukan.
“Terlalu banyak perkara yang bermain di fikiran saya sekarang. Perkara yang tak patut saya katakan,” kata pemain pertahanan Belgium, Jan Vertonghen.
Pemain sayap Maghribi, Hakim Ziyech pula menyifatkan pelan permainan itu sebagai ‘menunggu kesilapan Belgium’ meskipun hakikatnya, skuadnya memang jauh lebih baik dan bermain dalam ketahanan yang luar biasa.
Persembahan Ziyech itu sepatutnya menjadi peringatan kepada Chelsea tentang kualiti yang dimilikinya, malah turut diakui jurulatih Maghribi, Walid Regragui.
“Dia pemain yang luar biasa. Ramai orang bercakap mengenainya sebagai seorang manusia biasa yang kononnya sukar diuruskan, tetapi berdasarkan apa yang saya lihat sendiri, dia akan memberikan jiwa raganya untuk anda jika dia diberikan peluang,” katanya.
Maghribi menjaringkan dua gol hasil sepakan Roman Saiss pada minit ke-73 dan Zakaria Aboukhlal dalam masa tambahan meletakkan pasukan itu teguh di belakang Croatia dengan berkongsi empat mata dalam Kumpulan F. – Agensi/UTUSAN