Belanjawan NS 2023 tumpu sembilan bidang bantu rakyat - Utusan Malaysia

Belanjawan NS 2023 tumpu sembilan bidang bantu rakyat

AMINUDDIN Harun (tengah) sebelum membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2023 yang bertemakan ‘Melunas Janji Menggalas Harapan’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan  Melunas Janji Menggalas Harapan yang menyediakan sembilan bidang dengan 64 inisiatif bagi membantu rakyat.

Belanjawan 2023 Negeri Sembilan merupakan belanjawan defisit sebanyak RM100 juta, merupakan belanjawan defisit untuk tahun ketiga berturut-turut yang dibentangkan sejak Belanjawan 2021.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, belanja mengurus pada tahun hadapan adalah sebanyak RM550 juta berbanding anggaran hasil berjumlah RM450 juta manakala peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan pula adalah sebanyak RM130 juta. 

“Sungguhpun ia merupakan tahun ketiga pembentangan belanjawan secara defisit, namun ia dibuat secara bersasar dan masih dalam batas keupayaan rizab tunai negeri. 

“Belanjawan defisit ini juga merupakan salah satu intervensi kerajaan negeri dalam merangsang ekonomi domestik berdasarkan model Input-Output yang dibangunkan. 

“Hasil kajian mendapati secara umumnya, setiap 1.0 peratus peningkatan nisbah perbelanjaan mengurus cenderung untuk menjana 1.3 peratus KDNK negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2023 pada Persidangan Keempat (Belanjawan), Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini.

Menurutnya, hasil cukai dijangka menyumbang sebanyak RM159.84 juta atau 35.52 peratus pada tahun hadapan manakala hasil bukan cukai pula dijangka menyumbang sebanyak RM227.96 juta atau 50.66 peratus. 

“Terimaan bukan hasil pula dijangka akan diperolehi dijangka sebanyak RM62.20 juta ringgit atau 13.82 peratus.

“Hasil bukan cukai terus menjadi penyumbang utama melalui pelbagai hasil tanah, faedah pelaburan, caj air mentah, permit dan premium perhutanan. 

“Penetapan anggaran hasil ini diunjurkan dengan teliti dan realistik setelah mengambil kira pelbagai indikator ekonomi seperti bilangan permohonan Kebenaran Merancang di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan perluasan hasil,” katanya. 

Sementara itu, Aminuddin berkata, Belanjawan Negeri Sembilan 2022 akan dilaksana dengan memberikan fokus kepada sembilan bidang tumpuan.

Bidang Tumpuan itu adalah Jaminan Bekalan Makanan, Ekonomi Rakyat, Pendidikan, Kebajikan, Pemerkasaan Komuniti, Belia dan Wanita, Kerohanian dan Agama, Adat dan Pelancongan dan Pentadbiran. 

“Pelbagai bantuan kewangan, pemberian tunai, insentif bukan kewangan dan bantuan sokongan telah direncanakan oleh kerajaan negeri untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

“Sukacita saya umum sebanyak 64 inisiatif melibatkan peruntukan RM107 juta akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2023 untuk negeri ini. Sebanyak 42 inisiatif sedia ada akan dikekalkan atau ditambah baik dan 22 inisiatif baharu diperkenalkan,” katanya lagi. 

Aminuddin dalam pada itu turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada seramai 5,599 orang penjawat awam negeri ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya