MUAR: Demi negara tercinta, Ketua Pegawai Eksekutif A&M Berkat Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Radzi Mansor sanggup mengeluarkan belanja RM20,000 untuk pulang ke kampungnya di Jalan Ibrahim, di sini bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau dan bapanya, Mansor Salim dan kakak, Nor Hafiza mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, di sini.
“Alhamdulillah syukur saya dapat pulang mengundi bagi memilih pemimpin atau wakil rakyat di Parlimen Muar.
“Saya pulang ke Malaysia pada 30 Oktober lalu, memang persediaan untuk pulang mengundi di sini,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Radzi yang juga pemilik Hotel Mekah R’Suites di Mekah, Arab Saudi berharap pemimpin yang dipilih rakyat, khususnya penduduk di Muar dapat berbakti dengan tulus ikhlas.
“Saya juga berharap wakil rakyat yang dipilih dapat membangunkan daerah ini setaraf dengan bandar-bandar maju di luar negara,”katanya. – UTUSAN