JOHOR BAHRU: Hasrat seorang lelaki untuk memulakan hidup baharu di rumah yang dibeli di Jalan Teratai, Taman Johor Jaya, di sini terjejas apabila diganggu oleh ceti haram atau ah long.
Mekanik, Samuel Goh Shan Nan, 31, mendakwa, perkara itu berlaku apabila bekas pemilik rumah tersebut masih menggunakan alamat kediaman terbabit bagi pelbagai urusan termasuk membuat pinjaman daripada ah long.
Perbuatan itu menyebabkannya menerima ugutan apabila pintu pagar rumah dirantai dan dikunci dari luar selain menampal nota tertera nama, kad pengenalan dan akaun bank milik tuan rumah lama.
“Semasa kejadian, saya berada dalam rumah, saya hanya perasan pagar dirantai dan dikunci dari luar selepas mahu keluar bekerja pada pukul 11 pagi, baru-baru ini.
“Saya terpaksa meminta bantuan jiran untuk memotong kunci mangga serta rantai supaya dapat keluar rumah. Ini adalah kejadian kedua yang menimpa saya,” katanya ketika ditemui di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya di Jalan Rosmerah, Taman Johor Jaya, di sini hari ini.
Dalam kejadian pertama pada 2018, mekanik itu pernah menerima sekeping nota berwarna kuning meminta menjelaskan hutang atas nama pemilik rumah yang lama.
Jelasnya, rumah yang didiami bersama-sama isterinya itu pernah dilempar serpihan kaca di halaman rumah.
“Selepas empat tahun, kejadian ini berulang. Saya bimbang dengan keselamatan kami lebih-lebih lagi isteri saya kini sedang hamil dua bulan.
“Atas faktor keselamatan, saya juga sudah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah bagi memantau keselamatan.
“Saya harap bekas pemilik rumah ini tidak lagi menggunakan alamat rumah ini bagi tujuan meminjam duit daripada ah long. Saya mahu hidup dengan tenang,” katanya.
Shan Nan sudah membuat laporan polis bagi kejadian yang berlaku Ahad lalu serta kejadian yang berlaku pada Februari 2018.
Dia mengesyaki bekas pemilik rumah tersebut telah membuat pinjaman wang daripada ah long yang berbeza berdasarkan nota yang ditinggalkan. –UTUSAN