BACHOK: Seorang bekas jurutera elektrik mengambil masa selama kira-kira tiga minggu untuk menyiapkan replika helikopter dengan logo bulan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Damsari Abdullah, 57, berkata, penduduk kampung mengumpul dana sebanyak RM1,200 untuk membeli barangan keperluan selain menggunakan bahan terpakai untuk menyiapkan replika itu.
Menurutnya, dalam tempoh tiga minggu, dia bersama 10 hingga 15 penduduk mengambil masa tiga hingga lima jam sehari untuk menyiapkan helikopter yang diletakkan di pusat daerah mengundi (PDM) Tok Jawa di sini.
“Kami menggunakan atap plastik dijadikan dinding, tong plastik dan kipas. Keseluruhan struktur replika helikopter itu siap sepenuhnya petang semalam (kelmarin).
“Idea untuk membina replika helikopter ini datang daripada saya. Penduduk kampung banyak membantu dalam pelaksanaan untuk menyiapkannya sehingga ke lewat malam,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Damsari memberitahu, dia memilih untuk membuat replika helikopter bagi memeriahkan suasana PRU15 selain menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan kampung.
Katanya, replika itu menggunakan kuasa elektrik untuk memusingkan kipas selain menyalakan lampu pada waktu malam.
“Selain logo bulan, kita turut menampal poster calon Perikatan Nasional bagi Parlimen Bachok iaitu Mohd. Syahir Che Sulaiman. Kami akan menampal banyak lagi poster Mohd. Syahir untuk memudahkan golongan dewasa mengenalinya dengan lebih dekat.
“Selepas PRU15, helikopter ini akan disimpan di dalam stor untuk digunakan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan pada tahun depan,” ujarnya. –UTUSAN