Bekas isteri MB Perlis tuntut mutaah, nafkah tertunggak lebih RM15.34 juta - Utusan Malaysia

Bekas isteri MB Perlis tuntut mutaah, nafkah tertunggak lebih RM15.34 juta

Sova Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas isteri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menuntut mutaah dan nafkah tertunggak berjumlah RM15.34 juta selepas diceraikan tanpa sebab, April lalu.

Peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Sova Ali, 40, ketika dihubungi mengesahkan dua tuntutan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini.

Menurut kenyataan yang diperoleh media petang ini, Sova yang merupakan warga Indonesia menuntut mutaah sebanyak RM15 juta daripada Azlan yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong kerana telah diceraikan tanpa sebab dan tanpa kebenaran mahkamah.

Pada 25 Ogos lalu, pasangan itu disahkan bercerai oleh Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab. Halim dengan talak satu pada prosiding yang dijalankan secara tertutup. 

Pengesahan lafaz cerai itu dibuat berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. 

Selain tuntutan mutaah itu, Sova turut menuntut nafkah tertunggak sebanyak RM344,250 atas alasan beliau tidak pernah diberikan nafkah bagi tempoh tertentu perkahwinan mereka.

Pasangan itu berkahwin pada 21 Mac 2010 dan perkahwinan didaftarkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS). 

Azlan melafazkan cerai terhadap Sova pada 23 April 2022 di Jakarta, Indonesia. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang 12 tahun mendirikan rumah tangga. 

Pada prosiding pengesahan lafaz cerai, Sova memberitahu beliau diceraikan oleh Azlan di hadapan ibunya.

“Saya diceraikan sejurus balik daripada umrah dan bekas suami cakap ada ‘kejutan’ selepas balik dari Arab Saudi. Rupa-rupanya lafaz cerai,” katanya.

Kenyataan tersebut turut menyatakan tuntutan-tuntutan mengenai harta sepencarian yang terletak di Selangor, Perlis dan luar negara serta nafkah idah yang akan ditentukan jumlahnya akan difailkan dalam masa terdekat.

Menurut Zainul Rijal, selain memfailkan tuntutan tersebut, pihaknya turut mendapat kebenaran untuk penyampaian saman dan penyata tuntutan di luar negeri Selangor iaitu di Perlis. 

Kebenaran tersebut diberikan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Syariah, Rashidah Sapingi @ Shafie.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam turut menetapkan 15 Disember ini untuk majlis sulh bagi tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN