MUAR: Menjadikan bapa sebagai idola dalam gelanggang politik mendorong calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Muar, Mohd. Helmy Abd. Latif kekal bersemangat memperjuangkan suara dan isi hati pengundi di sini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Muar berkata, meskipun pertama kali dicalonkan bagi misi menawan kembali kubu kuat UMNO sebelum ini, Mohd. Helmy mengakui tidak kekok tatkala berdepan dengan masyarakat.
“Mungkin kerana saya merupakan anak jati di sini, maka ia beri keselesaan untuk saya berkempen di kawasan sendiri. Rasa seronok bila turun padang jumpa penduduk kampung yang kebanyakan mereka adalah rakan-rakan atau jiran tetangga sendiri yang memang dekat dengan saya.
“Ada antaranya bekas rakan sekolah, senior, junior atau ibu bapa kepada rakan kerja saya. Kita tak rasa janggal nak datang dan bertegur sapa, sekali gus memudahkan saya mendekati mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Selain faktor mengenali sebahagian besar pengundi, sifat kepemimpinannya juga lahir daripada karakter arwah bapanya yang merupakan salah seorang pemimpin dalam UMNO Bahagian Muar suatu ketika dahulu.
“Darah politik mengalir dalam tubuh saya ini dan ia datang daripada arwah bapa. Saya lihat bagaimana beliau ketika menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Muar melaksanakan tanggungjawab membantu masyarakat serta dalam masa menjalankan tugas terhadap parti.
“Maka, saya juga mengikut jejak langkahnya apabila mula sertai politik pada tahun 1999 sebaik tamat sekolah. Maka, pengalaman selama 23 tahun dalam UMNO termasuklah mempelajari sifat ketokohan daripada arwah bapa membuatkan saya rasa mudah untuk menyantuni masyarakat di sini,” katanya.
Mohd. Helmy yang juga seorang jurutera berkata, kini fokusnya adalah meningkatkan pelbagai sektor di Muar, khusus bagi membantu keperluan masyarakat setempat. – UTUSAN