Bapa, anak dalang edar dadah kena cekup

Bapa, anak dalang edar dadah kena cekup

KAMARUL Zaman Mamat menunjukkan rampasan ganja bernilai RM542,674.00 pada sidang media di Johor Bahru hari ini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang didalangi seorang bapa dan anak lelakinya terbongkar apabila dua beranak itu dan lima ahli sindiket yang lain ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, di sini.

Dalam serbuan pada Khamis dan Jumaat lalu, polis merampas 216 kilogram (kg) ganja bernilai RM540,257 susulan penahanan tujuh suspek termasuk dua remaja perempuan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 10 malam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan dua remaja lelaki di tepi jalan di Taman Pelangi.

Hasil siasatan, pihak polis melakukan serbuan ke atas  sebuah pangsapuri di Taman Abad yang dijadikan pusat membungkus ganja itu dalam peket kecil.

“Dalam serbuan itu, polis menahan anak dalang tersebut dan seorang remaja lelaki dan dua remaja perempuan berusia 18 tahun.

“Hasil siasatan lanjut ke atas suspek remaja itu membawa kepada penahanan bapanya setelah serbuan dilakukan di sebuah rumah sewa di Bandar Tiram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan ketiga itu polis menjumpai beberapa bungkusan dadah ketika menahan lelaki berusia 47 tahun itu.

Susulan penahanan tersebut, polis kemudian melakukan serbuan terakhir di sebuah rumah teres di Taman Puteri Wangsa, di sini yang dijadikan tempat penyimpanan ratusan ketulan mampat dadah jenis ganja.

“Modus operandi sindiket yang beroperasi sejak Ogos lalu ini ialah dengan mendapatkan bekalan dadah dari kawasan utara negara yang dihantar menggunakan pengangkutan awam dan perkhidmatan kurier. Mereka juga menjadikan rumah dan pangsapuri bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Dalam kesemua serbuan itu, polis merampas 216kg ganja, 13.11 gram (g) ketamin dan 12g pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM542,674 serta merampas wang tunai berjumlah RM5,000 selain menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal.

Hasil saringan air kencing mendapati enam suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan methamphetamine dan seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut,” katanya sambil memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya