SHAH ALAM- Calon Gerakan Tanah Air (GTA) bagi Parlimen Shah Alam akan berusaha menarik lebih banyak pengusaha perniagaan untuk berniaga di dalam bandar tersebut.
Calon GTA, Rafique Rashid berkata, tindakan tersebut dibuat supaya beberapa pusat perniagaan di dalam bandar tersebut dapat digunakan sepenuhnya daripada dibiarkan kosong.
“Kalau kita lihat beberapa pusat perniagaan seperti Plaza Perangsang, (Pusat Konvensyen Ideal) IDCC dan Space U8, terdapat begitu banyak kedai yang masih tidak disewa oleh peniaga.
“Jadi, kita ada beberapa pelan yang untuk menarik lebih banyak pengusaha supaya kembali menyewa di tiga pusat perniagaan ini,” katanya semasa melancarkan 7 Agenda Pembaharuan Shah Alam di sebuah restoran di Bukit Jelutong, semalam.
Selain itu, Rafique bertekad untuk membasmi kemiskinan yang ada di bandar tersebut, yang disifatkannya begitu ketara ketika ini.
Justeru itu, beliau sudah mempunyai perancangan bagi membantu golongan tersebut supaya jurang di antara golongan ini dengan golongan tidak begitu jauh.
“Saya juga akan bersuara supaya Hutan Simpan Bukit Cherakah supaya ia dapat diselamatkan.
“Sekiranya dipilih menjadi Ahli Parlimen, saya akan menganjurkan sesi meja bulat secara berkala dengan penduduk Shah Alam, bagi mengetahui masalah serta mencari jalan penyelesaian berhubung masalah yang dibangkitkan secara bersama,” tegasnya. – UTUSAN