KULAI: Kejadian banjir kilat di beberapa kawasan menyebabkan calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15 mengubah cara kempen mereka supaya bersesuaian dengan keadaan semasa.
Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kulai, Chua Jian Boon berkata, jadual kempennya kini termasuk menyantuni dan membantu penduduk yang menjadi mangsa banjir kilat ekoran hujan lebat semalam seperti di Kampung Baru Sengkang dan Kampung Murni Jaya, Kulai.
“Sebagai pemimpin, kita perlu membuat keputusan tepat dengan segera. Jadi, apabila tahu terdapat kawasan kediaman penduduk dinaiki air, saya memilih untuk tangguhkan program kempen bagi membantu mereka.
“Banjir kilat kali ini agak teruk, sejak semalam dan juga hari ini, saya bersama-sama pasukan telah menghulurkan bantuan yang diagihkan pertubuhan bukan kerajaan untuk kegunaan mereka,” katanya yang ditemui selepas membantu sukarelawan membersihkan kediaman penduduk di Kampung Baru Sengkang, di sini hari ini.
Jian Boon yang juga Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA mengajak lebih ramai sukarelawan untuk membantu mangsa sekiranya keadaan banjir kilat berterusan.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 296 orang daripada 68 keluarga yang dipindahkan ke enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 276 orang daripada 63 keluarga pada pukul 8 pagi.
Setakat ini tiga daerah dilanda banjir susulan hujan lebat yang berlarutan semalam.
“Pertambahan mangsa banjir itu melibatkan daerah Kulai dan Kluang yang dipindahkan ke tiga PPS baharu dibuka pada pukul 7.30 malam, 9.30 malam dan 11.00 malam tadi.
“Di Kulai seramai 139 orang melibatkan 29 keluarga dari Kampung Baru Sengkang dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang.
“Sementara itu, seramai 73 orang melibatkan 15 keluarga dari Kampung Murni Jaya dipindahkan ke Dewan Raya Kampung Murni Jaya,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN