PONTIAN: Harapan penduduk Pontian untuk mempunyai Bangunan Guna Sama Persekutuan (BGSP) seperti di daerah Batu Pahat dan Kluang akan direalisasikan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calon yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bangunan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian yang sekian lama terbiar boleh dicadang untuk dibangunkan sebagai BGSP.
Beliau memahami permintaan daripada penduduk Pontian supaya lebih banyak agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan seperti pejabat cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pejabat Buruh, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berada di dalam sebuah bangunan bagi memudahkan urusan mereka.
“Tentunya sebagai penyandang kerusi Parlimen, saya mengetahui keluhan mereka yang terpaksa ke Johor Bahru, Batu Pahat dan Kluang bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.
katanya ketika ditemui selepas melakukan Tinjauan Mesra di Pasar Malam Bandar Pontian, di sini.
Ahmad yang mempertahankan kerusi Parlimen Pontian bagi penggal keempat dicabar oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pontian, Datuk Isa Ab. Hamid, calon Pakatan Harapan (PH), Shazwan Dzainal Abidin dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohamad.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, selain itu, beberapa projek pembangunan yang boleh menjana dan memacu pertumbuhan ekonomi di Pontian juga akan dicadangkan.
“Cadangan lain membina Pusat Perubatan Rawatan Islam di tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Jalan Parit Masjid, pembesaran jalan Persekutuan dari Pontian ke Tampok dan pembinaan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Ibnu Khaldun.
“Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pulai Sebatang akan dipulihkan semula bagi memberikan peluang kepada golongan belia mengikuti bidang kemahiran selain penubuhan Kolej Komuniti Pontian di Benut,” katanya.
Ditanya apakah akan berlaku ‘tsunami politik’ di Parlimen Pontian seperti PRU14 kerana beliau hanya menenanginya dengan majoriti tipis, iaitu 833 undi, Ahmad yakin keadaan seperti itu tidak berulang pada PRU15.
Semasa PRU14, pengundi terpedaya dengan janji-janji palsu yang dicipta oleh PH selain fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap BN dan UMNO.
Pada PRU15, Parlimen Pontian mempunyai seramai 75,126 pengundi yang terdiri daripada 70 peratus kaum Melayu, Cina (28%), India (1%) dan lain-lain sebanyak satu peratus.