IPOH – “Sekarang bukan masa yang sesuai (untuk beri kenyataan). Tunggulah pada hari pencalonan (penamaan calon), saya akan buat sidang media.”
Itu ulasan Datuk Khairul Azwan Harun atau lebih popular dengan panggilan ‘Azwanbro’, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak ketika diminta mengulas pencalonannya di Parlimen Pasir Salak menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Menurut Khairul Azwan, keadaan agak ‘belum stabil’ dalam UMNO Bahagian Pasir Salak untuk beliau memberi sebarang kenyataan berkaitan kedudukannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi tersebut.
Tajuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, menjadi Ahli Parlimen Pasir Salak sejak tiga penggal lalu iaitu sejak 2008 dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah selama sepenggal iaitu pada 2004 hingga 2008.
Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, adalah antara ‘nama besar’ yang digugurkan BN pada pilihan raya umum kali ini.
Malam tadi, Naib Ketua UMNO bahagian itu, Dr. Faizal Tajuddin, mendakwa pengguguran Tajuddin telah memecah belahkan perpaduan dalam UMNO bahagian tersebut.
Jelas beliau, UMNO bahagian itu sebelum ini hanya menghantar nama Tajuddin sebagai calon tunggal parlimen itu manakala Khairul Azwan sebagai calon DUN Sungai Manik dan Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Notdin, sebagai calon DUN Kampung Gajah.
Malam tadi, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Khairul Azwan sebagai calon Parlimen itu manakala Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, hari ini mengumumkan mengekalkan Dr. Wan Norashikin di Kampung Gajah dan Datuk Ibrahim Katop bertanding di Sungai Manik. – UTUSAN