AL RAYYAN: Arab Saudi yang dilihat garang apabila mengejutkan gergasi Amerika Selatan, Argentina 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan C kini ibarat ibarat ‘telur di hujung tanduk’ mengenai nasib mereka selepas ini.
Menentang Mexico yang turut mengharapkan tuah memihak mereka, Arab Saudi berazam untuk mengulangi pencapaian terbaik pasukan itu apabila berjaya melepas saingan 16 akhir pada Piala Dunia 1994.
Saingan Kumpulan C menyaksikan Poland menghuni tangga teratas dan Argentina berkongsi tempat bersama Arab Saudi apabila masing-masing memperoleh tiga mata, manakala Mexico hanya meraih satu mata.
Pasukan yang dibimbing oleh Herve Renard itu perlu mengalahkan Mexico dengan jaringan besar tanpa mengira keputusan Poland menentang Argentina.
Jika seri, mereka memerlukan Poland mengalahkan Argentina dan jika kalah, mereka masih berpeluang untuk layak jika tewas dengan satu gol sementara mengharapkan Poland memenangi dengan margin yang besar.
Arab Saudi mengalahkan Argentina 2-1 sehingga mengejutkan peminat kejohanan tersebut tetapi kecundang kepada Poland 2-0.
Renard berkata, anak didiknya sudah membuat kejutan terhadap seluruh dunia dan ia boleh berlaku sekali lagi tetapi sokongan daripada penyokong perlu diberikan sepenuhnya kerana ia membantu pasukan daripada segi moral serta semangat.
“Tiada siapa dalam dunia ini sangka yang kami boleh bermain di peringkat ini, ye dalam Arab Saudi kami kenal sangat dengan pemain kami sendiri tetapi mereka ni bukan siapa-siapa pada peminat di luar.
“Kami perlukan penyokong untuk melakar sejarah. Saya mahu stadium dipenuhi dengan penyokong The Falcons, biar mereka memenuhi stadium semula, mungkin kami akan bermain jersey putih tetapi itu tidak penting. Kami mahu sokongan daripada penyokong,” katanya. – Agensi/UTUSAN