KANGAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menghentikan segala dakwaan menghasut dan fitnah kononnya anggota tentera yang mengundi awal di Parlimen Bera dibayar RM300.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, Anwar sewajarnya lebih memberi fokus menceritakan mengenai hasrat, hala tuju atau manifesto PH kepada rakyat berbanding menyebarkan fitnah bagi meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, tindakan Anwar itu adalah cubaan bagi menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat tentang BN menerusi kempen mereka.
“BN tawarkan kempen harmoni dan fokus kepada agenda masing-masing demi kepentingan rakyat. Saya harap Anwar lebih banyak bercerita tentang agenda beliau dan bukannya cerita lapuk dengan modal hasutan, fitnah dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Anwar sebelum ini mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah membuang undi untuk PRU15 kali ini serta dibayar.
Presiden PKR itu ketika berucap di majlis di Terengganu mendakwa, anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian selain meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasatnya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dakwaan Anwar itu sebagai fitnah serta merendahkan martabat anggota pasukan keselamatan dengan sengaja menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada BN menjelang PRU15.
Malah, Ismail Sabri turut menuntut Anwar memohon maaf kepada anggota tentera dan harus sedar bahawa dakwaan itu bersifat jahat.
Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, golongan profesional dan bijaksana tidak lagi menggunakan modal kempen sebegitu dan hanya fokus menyatakan agenda parti masing-masing bagi meraih sokongan rakyat.
“Apa agenda PH selepas gagal 22 bulan? Sekarang dia datang balik, cuba nak buktikan mereka masih relevan,” katanya. –UTUSAN