SEGAMAT: Pengorbanan seorang suami sanggup meninggalkan isteri serta dua anaknya bagi mengikuti Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel (PLAK) Siri 2/2022 selama enam bulan ternyata berbaloi apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Akademik Terbaik.
Syuhaimi Shuib, 24, dari Langkawi, Kedah yang mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu dengan Nurul Rosli, 25, ditawarkan menyertai program berkenaan Mei lalu.
“Saya berjumpa dengan anak-anak saya dan ingin memeluk dan mencium mereka, tetapi mereka memandang saya dengan pandang janggal seperti tidak kenal kerana susuk penampilan fizikal sedikit berbeza.
“Mereka tidak bertemu saya selama enam bulan kerana saya berada di PLAK dengan berambut pendek, kelihatan sedikit kurus selain berkulit sawo matang kerana latihan di bawah terik matahari,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat PLAK di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat di Batu Anam, di sini semalam.
Majlis disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komisioner Datuk Zaini Jass dengan 395 pelatih berjaya menamatkan latihan selama enam bulan bermula pada 29 Mei lalu.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Nerita Yaacob dan Komandan Pulapol Segamat, Superintenden Ali Omar.
Syuhaimi berkata, pada awal hatinya berbelah bahagi untuk meninggalkan isteri serta dua anaknya, seorang lelaki dan perempuan berusia setahun dan dua tahun.
“Namun, atas sokongan isteri yang mahu saya meneruskan impian untuk menjadi anggota polis, saya terima tawaran itu dengan penuh bersemangat. Saya bercita-cita untuk menjadi anggota polis sejak di bangku sekolah dan memohon untuk mengikuti program ini.
“Saya tidak sangka rezeki anak dan isteri selepas berkahwin, saya mendapat tawaran ini. Saya bersyukur kerana isteri memberi sokongan dan mengizinkan saya mengikuti latihan terbabit,” katanya.
Seorang lagi pelatih PLAK dari Kota Marudu, Sabah berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd. Zulfiqar Ikmal Jamaluddin, 22, turut teruja kini menjadi konstabel polis.
“Sebagai penerima Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar ini, saya akan berusaha dari peringkat bawah untuk menjadi seorang pegawai polis yang berjaya suatu hari nanti.
“Ini adalah sebagai permulaan saya untuk berusaha lebih gigih ke peringkat yang lebih tinggi. Saya amat meminati pasukan pakaian seragam sejak kecil dan ini adalah tujuan utama saya memohon mengikuti program latihan ini,” katanya.
Seorang lagi pelatih dari Kuala Lumpur, Muhammad Amir Hazwan Abdul Wahab, 23, menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan. –UTUSAN