PORT DICKSON: Jika sentimen anak tempatan menjadi keutamaan pengundi, calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun pasti mempunyai kelebihan bagi memenangi kerusi itu.
Daripada kesemua lima calon bertanding, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Naib Presiden PKR itu menjadi satu-satunya calon yang berasal dari Port Dickson.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, beliau menyedari perkara itu malah turut menganggap ia satu tanggungjawab besar yang perlu dipikulnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
“Itulah, orang kata saya ada kelebihan di sini (Port Dickson) tetapi yang penting bagi kita sebagai anak tempatan, melaksanakan tanggungjawab ini adalah amat besar. Jika saya menang, saya yakin itu satu tanggungjawab yang diberikan kepada saya.
“Daripada segi keyakinan, apabila saya sudah menawarkan diri pastinya saya telah memberikan sepenuh tanggungjawab saya di sini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan bertemu penduduk di Ladang Sengkak, Pasir Panjang di sini.
Aminuddin yang berasal dari Kampung Pachitan di sini turut memberitahu, gerak kerja beliau dalam tempoh awal berkempen adalah dengan turut memberi fokus kepada permasalahan setempat yang dihadapi rakyat.
“Saya melihat permasalahan setempat, selepas pilihan raya ini perlu selesai dan dibaiki. Setakat hari ini, saya belum sentuh lagi mengenai manifesto PH, bagi saya rakyat boleh membaca sendiri dan menghadamkan manifesto tersebut.
“Antara isu setempat yang dimaklumkan oleh rakyat di sini adalah isu jalan , bekalan elektrik, lampu jalan. Ini merupakan antara keperluan kawasan pedalaman dan saya cuba menyelesaikan isu yang dipendam oleh rakyat, itu paling penting,” katanya.
Jelasnya lagi, penduduk Port Dickson dilihat tidak mempunyai permintaan yang terlalu besar namun mereka hanya mengharapkan pemimpin yang bakal menjaga kawasan ini dapat sentiasa mendengar permasalahan mereka.
“Keperluan mereka (rakyat) bukannya besar, bukannya mereka hendak buat bangunan pencakar langit di Port Dickson, apa yang penting bagaimana kita menghargai mereka dengan menyediakan keperluan seharian mereka.
“Apa yang diperlukan oleh mereka (penduduk) dan menghargai mereka. Kalau negara ditadbir oleh PH kemungkinan akan lebih baik.
“Saya melihat keperluan ini tidaklah sampai ke peringkat yang lebih besar, jadi kita perlu melihat keseluruhan. Isu seperti longkang, jalan perlu bertar serta masalah jalan,” katanya lagi.
Parlimen Port Dickson menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan usaha Aminuddin untuk mempertahankan kerusi itu terus dimenangi PH akan disaingi oleh calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.
Turut memberikan saingan, calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah.