PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Ucapan berkenaan susulan pemilihan Mohammed Azman sebagai Presiden International Social Security Association (ISSA) yang ke-17 bagi tempoh tiga tahun bermula 2023 sehingga 2025.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan beliau sebagai rakyat Malaysia pertama memegang jawatan tertinggi dalam badan antarabangsa serta menerajui bidang keselamatan sosial di peringkat global.
“Kejayaan beliau bukan sahaja menjulang nama Malaysia di pentas dunia, malah, membuktikan kepercayaan dunia terhadap kepemimpinan Malaysia dalam bidang keselamatan sosial.
“Ia juga sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan pemimpin yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa,” kata kenyataan Istana Negara di laman Facebook hari ini.
Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan selamat bertugas dan selamat maju jaya kepada Mohammed Azman dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan dan kecemerlangan berterusan. –UTUSAN