JOHOR BAHRU: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecewa dengan segelintir pengundi yang ingkar arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan membuat rakaman video ketika di bilik mengundi dan dimuat naik dalam aplikasi Tik Tok.
Syed Saddiq yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu tidak seharusnya berlaku kerana memberi ruang bagi perbuatan membeli undi.
Katanya, pengundi seharusnya meninggalkan telefon bimbit mereka kepada ketua tempat mengundi (KTM) sebelum mengundi tanpa mendedahkan kerahsiaan tersebut.
“Ada beberapa kawasan di Muar pada awal pagi tadi, pengundi tidak diminta ditinggalkan telefon masing-masing kepada KTM. Saya lihat ada yang memuat naik video dalam Tik Tok ketika mereka mengundi.
“Trend ini agak merisaukan kerana SPR tidak membenarkan telefon bimbit dibawa masuk kerana ada unsur beli undi apabila ambil gambar, tunjuk bukti undi dan keluar sahaja dapat duit.
“Kalau nak juga kongsi siapa kita undi selepas itu, siap buat video dan pegang bendera, itu hak kamu, ada banyak cara lain nak tunjukkan sokongan sambil patuh undang-undang,” katanya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, di sini hari ini.
Syed Saddiq tiba di SK Taman Sutera bersama-sama ahli keluarganya kira-kira pukul 3.30 petang.
Dalam pada itu, Syed Saddiq terharu dan bangga dengan anak muda yang dari awal pagi sudah bersemangat keluar mengundi iaitu seawal pukul 7 pagi sedangkan pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi.
Walaupun hujan lebat di Muar, itu tidak mematahkan semangat mereka yang beramai-ramai berarak ke pusat pengundian bersama-sama keluarga menunaikan tanggungjawab mereka.
“Sebelum ini ada yang mengatakan anak muda tak ramai keluar, generasi Undi18 tak ambil kisah, tapi sebaliknya berlaku apabila mereka bangga diberikan hak mengundi untuk tentukan masa depan negaranya,” katanya. –UTUSAN