KUALA LUMPUR: Penerbit drama, Datuk A. Aida dan pelakon Idris Khan `berbaik semula’ selepas kedua-dua mereka bersetuju untuk menyelesaikan kes saman kerana melanggar kontrak di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
A. Aida ketika ditemui media berkata, dia memilih untuk berdamai kerana menganggap Idris seperti adiknya sendiri selain perkenalan mereka sudah lama terjalin.
Bagaimanapun, tiada penyelesaian di antara A. Aida dengan pelakon Amelia Handerson yang turut disaman membabitkan isu yang sama.
Pada Julai lalu, A. Aida memfailkan saman tersebut menerusi syarikat produksinya, A. Aida Production Sdn. Bhd. dengan menamakan Idris Khan atau nama sebenarnya Muhammad Idris Abd. Ghaffar dan Amelia Henderson atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson sebagai defendan pertama dan kedua.
Menurut laporan media sebelum ini, syarikat produksi itu memfailkan saman tersebut selepas kedua-dua pelakon itu menarik diri pada daripada membintangi drama terbitan syarikat itu, Sekali Lagi Cinta Kembali.
Amelia, 27, ketika ditemui berkata, dia yakin bahawa dirinya berada di pihak yang benar dalam kes saman itu.
“Saya ada keyakinan, saya rasa tidak bersalah, jadi saya tidak takut, saya yakin dengan peguam saya dan yakin dengan kes saya,” katanya yang mengakui berasa risau kerana kali pertama berdepan dengan kes saman di mahkamah.
Menjawab pertanya mengenai tindakan Idris menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, pelakon utama drama Cik Ayu Mee Sanggul itu berkata, ia terpulang pada hak masing-masing.
“Saya selalu sokong keputusan kawan saya, dia ada hak untuk membuat keputusan dia,” katanya.
Sementara itu, ketika prosiding perbicaraan hari ini, selain pengarah drama, Rizal Baharudin turut memberi keterangan hari ini ialah A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang.
Menurut penerbit drama itu, beliau mengalami kerugian sebanyak RM210,350 apabila terpaksa membatalkan penggambaran drama itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan bersambung hari ini. – UTUSAN