7,961 graduan diraikan dalam Konvokesyen Jubli Emas UKM - Utusan Malaysia

7,961 graduan diraikan dalam Konvokesyen Jubli Emas UKM

MOHD. Ekhwan Toriman (berjubah biru) bergambar bersama penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Emas Kedoktoran, Anugerah Emas Sarjana, Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Tun Abdul Razak selepas Sidang Canselor Majlis Konvokesyen UKM Ke-50.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Seramai 7,961 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-50 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung selama enam hari bermula kelmarin sehingga 1 Disember ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, majlis konvokesyen itu diadakan secara normal dengan kehadiran ibu bapa dan keluarga membabitkan sebanyak 11 sidang.

“Sebelum ini, hanya bakal graduan dibenarkan berada di dalam dewan tanpa ditemani ibu, bapa atau ahli keluarga, tetapi tahun ini kita dapat menganjurkannya seperti sedia kala.

“Majlis Konvokesyen Jubli Emas ini sangat bermakna kepada seluruh warga UKM kerana Universiti Watan ini sudah banyak melahirkan alumni berkualiti sejak penubuhannya 52 tahun. Sehingga kini, UKM menghasilkan seramai 222,197 orang alumni,” katanya.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang juga Canselor UKM, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan Majlis Konvokesyen UKM Ke-50 serta menyampaikan titah ucapan dan ijazah kepada para graduan di DECTAR, kelmarin.

Mohd Ekhwan berkata, majlis bertemakan ‘Alumni Emas, Aspirasi Watan’ itu turut meraikan empat penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah iaitu Tan Sri Dr. Palaniappan Ramanathan Chettiar, Sir Mark Moody-Stuart, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan Prof. Dr. Edward Yi Chang.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Lee Jun Xin, 25, berkata, dia amat terharu dengan sokongan dan dorongan yang diterima daripada kedua ibu bapanya sepanjang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di UKM.

Jun Xin yang kini bertugas sebagai pegawai perubatan siswazah di Hospital Sultanah Fatimah, Muar, turut berharap untuk kembali semula universiti berkenaan sebagai seorang pensyarah pelatih dan menyambung pengajian dalam bidang paediatrik onkologi.

“UKM menjadi pilihan utama kerana ibu bapa saya merupakan alumni selain sudah menanam cita-cita untuk bergelar seorang doktor bagi memberi lebih kesedaran kepada masyarakat mengenai golongan orang kurang upaya memandangkan abang saya merupakan seorang autisme.

“Sebelum ini saya turut menerima tawaran sebagai doktor pelatih di Singapura namun, sudah tiba masanya untuk saya menyampaikan khidmat kepada masyarakat di negara ini dan terus kekal di sini,” ujarnya.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Muhammad Khairul Izzat Haridan, 23, berkata, dia tidak menyangka apabila terpilih sebagai penerima anugerah tersebut daripada kesemua 30 graduan lain yang tercalon.

Jelas graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Geologi itu, anugerah berkenaan merupakan hadiah buat ibunya yang selama ini banyak menyokong dan memberi motivasi kepada dirinya sepanjang menuntut di UKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya