PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan kes positif Covid-19 sebanyak 2,913 kes bersamaan kelmarin, sekali gus mengatasi 2,599 kes sembuh.
Kes positif baharu ini adalah hasil ujian saringan sebanyak 25,391 ujian dan menjadikan jumlah terkumpul kes di negara ini, sebanyak 4,905,877 kes.
Berdasarkan laman web, https://data.moh.gov.my, hari ini, Selangor menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 997 kes diikuti Kuala Lumpur (709), Perak (201), Sabah (199), Negeri Sembilan (124), Melaka (111) dan Pulau Pinang (109).
Bagi negeri catat bawah 100 kes pula iaitu Kedah (89), Kelantan (87), Johor (69), Pahang (69), Putrajaya (49), Sarawak (48) dan Terengganu (44), manakala dua lokasi mencatatkan kes satu angka iaitu Labuan, enam kes dan Perlis, dua kes.
Pesakit Covid-19 yang diwadkan seramai 514 orang berbanding kelmarin, 433 orang; kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) (60 kes) dan memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 43 kes.
Dalam perkembangan melibatkan kematian Covid-19, Malaysia mencatatkan tiga kes berbanding jumlah kelmarin, sembilan kes sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 36,478 kes, manakala satu kes kematian dibawa ke hospital (BID) menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,763 kes. – UTUSAN