PETALING JAYA: Seramai 17 pekerja di sebuah kilang memproses makanan mengalami mual dan pening kepala selepas terhidu gas dipercayai nitrogen yang bocor di sebuah premis di Subang Jaya, di sini pagi tadi.
Pasukan Gerakan Operasi Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.33 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan empat anggota.
“Kejadian melibatkan gas bocor di ruang memproses daging beku berkeluasan 1.39 meter persegi x 5.57 meter dipercayai gas nitrogen.
“Pihak bomba menutup injap paip utama saluran gas dan mengarahkan semua pekerja keluar dari premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan premis terbabit selamat digunakan.
Katanya, seramai dua daripada mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut, bagaimanapun kesemua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.- UTUSAN