SEPANG: Pelakon terkenal, Zul Ariffin mengingatkan golongan artis untuk lebih berhati-hati jika diminta memuat naik sebarang klip video bagi tujuan promosi dalam platform media sosial masing-masing.
Menurut aktor berusia 36 tahun itu, apa yang berlaku dan hukuman yang dikenakan terhadapnya harus dijadikan iktibar supaya tidak terkena kepada individu lain.
“Semua orang lakukan kesilapan, sekurang-kurangnya ia menjadi pengajaran kepada orang di luar sana dan pengajaran kepada semua pelakon, kalau disuruh post (muat naik) itu, tak payah lah akur sangat, betul tak?
“Kalau disuruh ‘post’, dibakar-bakar untuk tujuan promosi kepada artis di luar sana berhati-hati lah, jadikan (kes) saya sebagai contoh,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Sepang di sini hari ini.
Pelakon lelaki popular itu didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik klip video bersifat sumbang di akaun Instagramnya, Mac lalu.
Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul, 36, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Zul yang terkenal menerusi filem Tombiruo: Penunggu Rimba dan Sangkar itu turut mengakui kesilapannya memuat naik klip video ‘trailer’ berkenaan dan reda dengan hukuman denda dikenakan oleh mahkamah.
“Secara jujurnya, macam ini lah, saya tahu salah saya sebab ‘post’, jadi, kalau saya tak mengaku bersalah, kes ini masih lagi berterusan.
“Saya tak nak hidup dengan rasa macam itu, jadi, saya anggap (pengakuan) bersalah ini bukan semata-mata saya bersalah dengan kelakuan, (tetapi) saya bersalah dengan Allah SWT, jadi saya ambil langkah berani untuk mengaku bersalah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zul turut menggelarkan kesemua pihak yang turut terlibat dengan video klip berkenaan sebagai ‘malaikat’ dan dia tidak kisah mengambil tanggungjawab untuk mengaku kesalahannya memuat naik klip video itu.
“Sebab yang lain yang terlibat semua malaikat, saya seorang sahaja yang tak, jadi, saya lah mengaku bersalah.. tak mengapa.
“Saya (mengaku) sebab tak nak bazir masa semua orang, mahkamah atau sesiapa sahaja, jadi, saya mengaku bersalah sebab ‘post’,” katanya.
Tambah Zul lagi, sebagai seorang pelakon dan selebriti, sudah pasti setiap tindak tanduk yang dilakukannya akan mempunyai akibat tersendiri.
“Biasalah, apa sahaja yang kita buat adalah akibatnya tapi itu lah daripada saya berdolak dalik itu ini sekurang-kurangnya saya mengaku salah,” katanya dalam nada sinis.
Ketika ditanya sama ada siri bertajuk ‘Perempuan Itu’ akan ditayangkan di televisyen, Zul meminta supaya perkara tersebut diajukan kepada penulis skrip.
“Tak tahu lah, kena tanya penulis skrip yang berkarya, kena tanya malaikat yang berkarya jangan tanya saya, saya dah kena denda,” ujarnya. –UTUSAN