Zahid, kluster mahkamah jatuhkan tiga kerajaan jika PRU segera

Zahid, kluster mahkamah jatuhkan tiga kerajaan jika PRU segera -DAP Johor

LIEW CHIN TONG (duduk tengah) bersama-sama kepimpinan DAP Johor dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kluster mahkamah dalam parti itu akan berjaya menjatuhkan tiga kerajaan Pusat sekiranya desakan mereka mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) segera dituruti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, tiga kerajaan berkenaan adalah kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan semasa.

“Walaupun pembubaran Parlimen tidak berlaku semalam, tetapi, kemungkinan besar pembubaran akan berlaku tidak lama lagi. Kalau itu berlaku bermakna pihak kluster mahkamah dan Zahid Hamidi telah menang.

“Tetapi, jika PRU15 tidak diadakan segera, kita boleh gunakan Pelan B iaitu semua pihak duduk semeja untuk berbincang bagi mewujudkan beberapa peraturan yang boleh dikuatkuasakan dalam PRU15, kita masih ada masa untuk itu.

“Antara peraturan itu termasuklah yang sudah dilaksanakan baru-baru ini, iaitu Akta Anti Lompat Parti, namun, selain itu, banyak lagi peraturan yang boleh dibuat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa DAP Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng.

Chin Tong yang juga ADUN Perling berkata, antara peraturan lain yang boleh ditetapkan termasuk dana politik, pemberian peruntukan kawasan secara adil dan  menetapkan tempoh dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.

“Antara peraturan lain termasuklah pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya selain penetapan terus tarikh PRU agar semua pihak tidak lagi tertanya-tanya.

“Peraturan-peraturan ini sekiranya ditetapkan boleh dilaksanakan dalam PRU15 dan itu semestinya akan menyaksikan Malaysia telah memasuki era politik baharu yang akan meningkatkan kesejahteraan masyarakat negara ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, senarai calon DAP Johor hanya akan dimuktamadkan selepas Parlimen dibubarkan.

“Senarai nama calon masih belum ada, itu kita perlu tunggu pembubaran Parlimen terlebih dahulu. Sekiranya itu berlaku jawatankuasa negeri akan cadangkan senarai nama kepada jawatankuasa pusat dan mereka akan putuskan.

“Selepas itu, kita akan umumkan senarai nama calon pada hari penamaan calon kelak. Jadi buat masa ini tiada keperluan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya