Usah pilih pemimpin yang datang masa pilihan raya sahaja

Usah pilih pemimpin yang datang masa pilihan raya sahaja

JOHARI Abdul Ghani (kanan) beramah mesra dengan jemaah Masjid Ar-Rahimah sempena program Sembang Santai di masjid berkenaan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengundi perlu mengambil pengajaran daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tidak memilih pemimpin yang hanya datang semasa pilihan raya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana sebagai wakil rakyat yang dipi­lih, peranan dan tanggungjawab seharusnya dimainkan tidak kira kalah atau menang.

Tanpa menamakan mana-mana pemimpin, beliau berkata, setiap pemimpin tetap perlu berkhidmat kepada masyarakat setempat dalam apa jua keadaan.

“Pilihan raya ini sesiapa pun boleh bertanding, nasihat saya kepada masyarakat, pengundi Titiwangsa supaya menilai pe­mimpin ini. Kita tidak mahu pemimpin datang waktu pilihan raya dan menang dia cabut atau tak turun padang.

“Kemudian dia bertan­ding, datang sini, dia tak pernah turun. Kita mahu pemimpin yang konsisten, menang pun dia datang, kalah pun dia tetap berkhidmat untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pada program Sembang Santai bersama jemaah masjid di Astaka Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, semalam.

Pada PRU14, Datuk Seri Rina Harun memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa atas tiket PKR mengalahkan Johari yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) dan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad.

Namun, selepas kemenangan tersebut, Rina yang merupakan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikecam pengundi Titiwangsa kerana dikatakan tidak menjalankan tugas sebagai seorang ahli Parlimen, sebaliknya dilihat aktif menyertai pelbagai program yang dianjurkan di Parlimen Sepang.

Mengulas perkara itu, Johari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, biar rak­yat menentukan nasib beliau sebagai wakil rakyat kali ini.

“Itu awak tanya pengundi Titi­wangsa, apa pendapat mereka tentang pemimpin itu,” ujarnya.

Pada PRU15, BN dijangka meletakkan Johari sebagai calon berdepan dengan Khalid Samad mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menjadi pertaruhan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk merebut kerusi Parlimen ber­kenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya