BANDAR BAHARU: Barisan Nasional (BN) menegaskan mereka tidak akan berunding dengan Pas setelah membentuk kerajaan kelak kerana sudah tahu ‘kawan’ mana yang lebih setia dan istiqamah ketika susah serta senang ketika ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN bukannya riak, sombong atau jauh sekali takbur dan ujub, namun, yakin pengundi sudah sedar untuk memberi semula undi kepada gabungan itu.
Katanya, pendirian pemimpin parti itu juga sentiasa berubah-ubah kerana menggunakan ayat al-Quran dan hadis mengikut tafsiran sendiri walaupun ayat dan maknanya tetap sama.
“Jangan peduli ‘pak lebai’ bersama kita atau tidak, kita harus pergi (bertanding) atas nama BN untuk perintah negara dan negeri ini semula. ‘Pak lebai’ petang cakap lain, malam cakap lain, esok cakap lain. Dirinya sahaja tak salah, dia kata kita ini durian mentah, belum masak sangat.
“Ingat ‘pak lebai’ durian mentah ini jangan cuba dijolok, tunggu ada durian runtuh walaupun tidak cukup masak. Kalau tak pakai serban lebai itu, takut-takut kepala pecah sebab durian jatuh atas kepala. Nak cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar pak lebai,” katanya ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dataran Serdang, hari ini.
Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Ahmad Zahid berkata, Pas seharusnya mempunyai pendirian teguh dalam membuat keputusan dalam menentukan kerjasama sebelum PRU15 dan menyarankan pemimpin parti itu agar segera bertaubat.
“Beritahu pula tunggu lepas pilihan raya kita runding, PM (Perdana Menteri) jawab dengan tepat pilihan raya lama lagi (tetapi) BN hadapi realiti sekarang. Jangan runding lepas pilihan raya Insha-Allah, rakyat dan pengundi sedar mereka akan beri undi semula kepada BN.
“Ketika itu, Insya-Allah, apabila kita jadi kerajaan, baru ada yang terhegeh-hegeh nak jumpa dengan kita, kita kata cukup sampai di sini. Kita mesti kata juga bukan cukup sampai sini sahaja (tetapi) sayang sudah terlambat,” katanya.
Sementara itu, dalam konteks Kedah, Ahmad Zahid berkata, BN juga akan memastikan negeri itu dirampas semula untuk membentuk kerajaan negeri setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan kelak.
“Kita tahu apa yang berlaku di Baling, kita tahu apa yang berlaku di Kulim Hi-tech, kita tahu apa yang berlaku di Langkawi dan kita juga tahu apa yang berlaku di Alor Setar. Mereka merasakan bahawa apa yang berlaku itu adalah kelemahan pentadbiran kerajaan negeri (Pas).
“Kalau setakat buka baju tunjuk bulu dada yang satu dua helai kepada rakyat ini bukan tempat untuk lawak jenaka, negeri kedah adalah negeri yang serius dan harus dibangunkan serta dimakmurkan semula oleh BN,” katanya. –UTUSAN