Untuk memenangi hati pengundi - Utusan Malaysia

Untuk memenangi hati pengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA tumpuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah siapa calon yang bakal mewakili parti masing-masing di 222 kerusi Parlimen.

Pastinya parti politik ketika ini sibuk merangka strategi untuk kekalkan muka lama atau memberi peluang kepada muka baharu untuk bertanding dan tidak dapat lari setiap kali berlangsung pilihan raya, tentunya ada kerusi tertentu yang merupakan kawasan panas.

Antara menarik perhatian tentunya persaingan di kerusi-kerusi disandang oleh ahli Parlimen yang bertindak lompat parti pasca PRU14 sehingga menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas memerintah negara selama 22 bulan.

GOMBAK
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh menarik nafas selepas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengumumkan bertanding di Parlimen Tambun dan bukannya di Parlimen Gombak.

Pada awalnya, ramai yang menjangkakan Anwar bertanding di Gombak selepas Presiden PKR itu mengumumkan memberi tumpuan kepada kerusi ‘peng­khianat’ dan ketika itu banyak mata yang memandang kerusi disandang Mohamed Azmin.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin bersedia mempertahan kerusi Parlimen Gombak dan sanggup berdepan sesiapa sahaja termasuk isteri, anak atau Anwar sendiri di kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR pada PRU-14 itu.

Bagaimanapun, perlu tunggu sehingga hari penamaan calon pada 5 November ini untuk menentukan siapa calon di Gombak kerana ada khabar angin yang mengatakan Mohamed Azmin sendiri tidak bertanding di Gombak dan lari ke kawasan lain.

Pada PRU-14, Mohamed Azmin menang selesa dengan majoriti 48,721 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan calon Pas, Ir. Khairil Nizam.

AMPANG
Daripada PKR ke Bersatu dan lompat menyertai Parti Bangsa Malaysia (PMB), itu perjalanan politik Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin selepas PRU-14 dan kini untung rugi percaturan politiknya terjawab pada PRU-15.

Zuraida adalah antara rakan sekutu Mohamed Azmin yang dipecat PKR pada Februari 2020 selepas didakwa melakukan pengkhianatan terbuka dan selepas itu, beliau menyertai Bersatu, namun, mengumumkan menyertai PBM Mei lalu.

Beliau yang kini merupakanPresiden PBM sudah menyatakan kesediaan mempertahan Parlimen Ampang itu dan ada juga cakap-cakap parti akan menjadi ‘rakan BN’ de­ngan Zuraida diberikan laluan di kerusi berkenaan yang disandangnya sejak 2008.

LARUT
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah bersedia dengan strategi sekiranya terpaksa menghadapi UMNO Perak bagi mempertahan kerusi Parlimen Larut pada PRU15 yang dimenanginya atas tiket BN pada 2018.

Dijangka berlaku persaingan sehingga empat penjuru antara BN, PN, PH serta GTA di Larut dan perkembangan itu semestinya menjadi antara kerusi panas yang menjadi perhatian pemerhati politik tanah air.

Pada PRU-14, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket BN selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti undi sebanyak 4,486. Bagaimanapun, Hamzah keluar dari UMNO dan menyertai Bersatu pada 2019.

MASJID TANAH
Beberapa hari lalu, penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengakui terkejut namanya diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN),

Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertahan kerusi tersebut pada PRU-15.

Pada PRU-14, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang de­ngan majoriti 8,159 undian menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Dr. Sabirin Ja’afar dan calon Pas, Nasir Othman.

Bagaimanapun, Mas Ermie­yati mengumumkan keluar daripada UMNO dan menjadi ahli Parlimen Bebas. Tidak lama selepas itu, anak jati Masjid Ta­nah itu kemudiannya mengambil keputusan menyertai Bersatu dan menganggotai barisan Kabinet.

Dijangka, Mas Ermieyati bertembung dengan beberapa nama besar yang dicalonkan BN seperti Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

TAMBUN
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan tidak mempertahan kerusi Port Dickson yang dimenanginya pada pilihan raya kecil (PRK) 2018 dan mengumumkan kerusi Parlimen Tambun di Perak sebagai lokasi baharu untuk bertapak.

Walaupun keputusan itu agak mengejutkan, ia sebenarnya sudah dapat dijangka apabila PH Perak sangat mengalukan-alukan kehadiran presiden PKR itu dalam misi menawan kembali negeri berkenaan dan menyatakan kesediaan untuk menawarkan tempat kepada Anwar.

Keputusan itu menyaksikan Anwar bakal berentap dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Tambun yang dahulunya menang atas tiket PKR ketika berada bawah khemah besar PH.

Situasi itu juga menyaksikan Anwar mengotakan janjinya untuk bertanding di kerusi pengkhianat dan untuk rekod, Ahmad Faizal juga menjadi punca PH hilang kuasa mentadbir di Perak selepas beliau meletakkan jawatan selaku Menteri Besar.

HULU TERENGGANU
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datul Rasol Wahid menang di kawasan berkenaan pada PRU-14 atas tiket BN, namun, beliau selepas itu memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas dan selepas itu menyertai Bersatu selepas BN tewas teruk pada PRU-14.

Alasan utamanya bertindak keluar UMNO ketika itu ialah demi kebaikan seluruh warga Hulu Terengganu, kerana jika bersama BN peruntukan hanya RM100, 000 sahaja dan selepas bersama Bersatu peruntukan yang diterima ialah RM3.5 juta.

Rosol yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu sudah menyatakan ke­sediaan untuk bertanding menggunakan logo bulan (Pas) pada PRU-15 sekiranya dipersetujui oleh Perikatan Nasional (PN).

Apa yang pasti, BN mahu kembali merampas Hulu Terengganu dengan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat disebut-sebut untuk bertanding di kerusi berkenaan.

BANDAR TUN RAZAK
Ketika ini hangat diperkatakan Bekas Timbalan Perdana Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, bakal berpindah dari kawasan Pandan untuk bertan­ding mewakili PH bagi kerusi Bandar Tun Razak.

Menurut sumber, pengumuman mengenai pencalonan Wan Azizah di kerusi Parlimen tersebut dijangka dibuat Jumaat ini.
Pada PRU-14 yang berlangsung pada 2018, PH meletakkan Datuk Kamarudin Jaffar sebagai calon mereka di kerusi berkenaan dan Timbalan Menteri Luar itu memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti hampir 20,000.

Bagaimanapun, pada 2020 Kamarudin menjadi sebahagian daripada Ahli Parlimen PKR yang terlibat dalam Langkah Sheraton dengan berpaling tadah membentuk kerajaan baru bersama BN dan Pas.

Sebelum menjadi Ahli Parlimen Pandan, Wan Azizah pernah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dari 1999 hingga 2008 dan 2015 hingga 2018.

JELI
Selepas sekian lama bertan­ding dan menang atas tiket BN, PRU-15, tanggal 19 November depan akan menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ‘bersalin kulit’ bertanding atas tiket Bersatu.

Mungkin Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa tidak gentar untuk berdepan PRU-15 kerana beliau sudah lama bertapak di Jeli selain turut dikenali dan mesra dengan pengundi-pengundi di kawasan berkenaan.

Lebih menjamin kemena­ngan Mustapa ialah beliau akan bertanding menggunakan logo Pas pada PRU-15.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya