TAMPIN: UMNO Bahagian Tampin menerusi mesyuarat perwakilannya membuat usul supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa berkata, ia merupakan salah satu daripada tiga usul yang diputuskan UMNO bahagian berkenaan selain isu calon dan kerusi parti dikekalkan seperti sebelum ini.
“UMNO Bahagian Tampin menyokong penuh keputusan lima pemimpin tertinggi UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh pilihan raya.
“Sehubungan itu, UMNO Bahagian Tampin juga mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri diangkat semula sebagai Perdana Menteri yang kesepuluh sekiranya UMNO kembali berkuasa selepas PRU15 nanti,” katanya dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Tampin di sini hari ini.
Ujar Mohd. Isam, usul sebagai Perdana Menteri akan datang adalah berdasarkan keupayaan Ismail Sabri yang dianggap berjaya menstabilkan semula suasana politik negara walaupun menerajui sebuah kerajaan campuran.
Menurutnya, personaliti, keperibadian dan sikap sentiasa peka dengan denyut nadi rakyat adalah ciri-ciri kepemimpinan yang ada pada Ismail Sabri amat diperlukan oleh rakyat Malaysia ketika ini. –UTUSAN