UMNO Sepang sokong Ismail Sabri kekal PM selepas PRU15 -

UMNO Sepang sokong Ismail Sabri kekal PM selepas PRU15

NOORAZLI Said berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang 2022 di Kolej Mara Banting, Selangor hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: UMNO Bahagian Sepang bersetuju agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sokongan secara sebulat suara itu adalah antara beberapa usul yang dipersetujui kepimpinan bahagian tersebut pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang 2022 di sini hari ini.

Ketua UMNO bahagian itu, Noorazli Said ketika ditemui pemberita berkata, beliau bersyukur apabila perwakilan yang hadir memberi sokongan amat penuh menjelang kempen PRU15 akan datang.

“Ini membuktikan bahawa semua perwakilan telah mengambil maklum mengenai keputusan yang ditetapkan ketika penutup Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 19 Mac lalu,” katanya.

Semasa perasmian penutup perhimpunan tahunan itu di ibu negara, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dinamakan sebagai calon tunggal Perdana Menteri bagi BN pasca PRU15.

Pengumuman itu telah mematikan spekulasi pembangkang kononnya bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri ke-10 jika BN menang PRU tersebut.

Pada masa sama, ketetapan perhimpunan itu menepis tohmahan pihak lawan bahawa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan juga dijadikan calon bagi jawatan berkenaan.

Isu itu dijadikan bahan pihak tertentu kononnya sebagai persediaan parti sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didapati bersalah atas pelbagai ke di mahkamah.

Mengulas lanjut, Noorazli bagaimanapun berkata, UMNO Bahagian itu menyerahkan kepada pucuk kepimpinan parti tersebut atau dirujuk sebagai Top 5 jika ada nama lain sebagai calon.

“Ini juga selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO agar jika Ismail Sabri tidak sesuai, maka pihak Top 5 diberikan kuasa untuk memilih siapakah calon lain pula,” jelasnya.

Namun, sebarang perubahan nama pengganti jawatan Perdana Menteri ke-10 ujarnya, harus dibincangkan teliti dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum dimuktamadkan.

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang pada kali ini mendapat sambutan luar biasa apabila hampir 1,000 ahli parti tersebut hadir termasuk wakil komponen BN iaitu MCA dan MIC.

Ia merupakan mesyuarat yang terakhir sebelum PRU-15 selepas Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu untuk kerajaan mendapat semula mandat rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat agensi itu pada Khamis ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon serta hari pengundian awal dan normal. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya