UMNO Melaka hantar lima nama calon setiap Parlimen

UMNO Melaka hantar senarai lima calon setiap Parlimen

AB. RAUF Yusoh berucap pada Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’ Acqua, Alor Gajah, Melaka, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Badan Perhubungan UMNO Melaka menghantar lima nama calon bagi setiap Parlimen di negeri ini untuk dipilih kepemimpinan tertinggi parti sebagai persiapan berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kaedah itu dilihat realistik dan berupaya menentukan calon terbaik untuk mewakili UMNO dan seterusnya menang di kerusi yang ditandingi.

Tegas beliau, kesiapsiagaan UMNO Melaka sudah berada pada tahap 90 peratus dan jentera negeri bersedia sepenuhnya jika PRU15 diadakan pada bila-bila masa.

“Kita tidak mampu lagi kalah untuk kali kedua dan kita mesti berupaya untuk memastikan Putrajaya mesti berada dalam genggaman Barisan Nasional (BN) selepas PRU15.

“Jika mahu kata bersedia, kami sudah bersedia selepas pilihan raya negeri (PRN) yang lalu lagi. Jentera akan diaktifkan untuk menguruskan PRU15 yang akan datang tidak lama lagi.

“Cuma tumpuan sekarang adalah nama calon yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’ Acqua di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, tugas besar perlu dipikul kepemimpinan BN Melaka selepas pucuk pimpinan tertinggi parti menyasarkan lima kerusi Parlimen perlu dimenangi di negeri ini dalam PRU15.

Meskipun berat, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran lebih 80 peratus itu tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan keupayaan parti yang memperoleh majoriti lebih dua pertiga pada PRN Melaka.

Walaupun tidak menamakan secara jelas, lima kerusi berkenaan dipercayai adalah Tangga Batu, Jasin, Hang Tuah Jaya, Masjid Tanah dan Alor Gajah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya