JASIN: Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin hari ini meluluskan usul sebulat suara menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Bahagian, Datuk Hasan Rahman berkata, usul yang dibawa Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Roslan Ahmad itu disokong Pergerakan Pemuda serta dibahas Pergerakan Wanita dan Puteri serta mendapat sokongan penuh daripada 540 perwakilan.
Menurutnya, usul berkenaan selaras dengan keputusan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini, termasuk pada Perhimpunan Agung Khas yang menamakan Naib Presiden UMNO itu sebagai calon Perdana Menteri.
“Alhamdulillah, UMNO Bahagian Jasin mencapai kata sepakat, daripada usul yang dibawa itu. Seluruh kepemimpinan akar umbi memberi mandat penuh kepada Ismail Sabri bukan sahaja menjadi poster boy untuk PRU15, tetapi juga calon Perdana Menteri.
“Usul ini adalah sebulat suara mengikut ketetapan yang dibuat oleh MKT untuk memastikan Naib Presiden terus diberi mandat dan kepercayaan menerajui kepimpinan negara, jika BN menang pada PRU15 nanti,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda di sini hari ini.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi PRU15, Hasan berkata, seramai 23,000 ahli sudah bersiap sedia bagi memastikan kerusi tradisi Parlimen Jasin terus menjadi milik BN.
Menurutnya, gerak kerja dimulakan untuk memastikan 96,000 pengundi di kawasan tersebut terus memberi sokongan penuh kepada sesiapa sahaja calon yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan.
“Saya difahamkan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari akan bertanding di Jasin dan begitu juga calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Yadzil Yaakub.
“UMNO tidak gentar berdepan dengan kedua-dua calon berkenaan jika ditakdirkan mereka bertanding di Parlimen Jasin,” tegasnya. –UTUSAN