GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat bagi mengelakkan pembaziran makanan menerusi kaedah menukar lebihan makanan kepada makanan baharu.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya meraikan Minggu Tindakan Hijau (Green Action Week) tahun ini bertemakan “Komuniti Berkongsi” dengan memberikan beberapa petua cara menukar lebihan makanan kepada makanan baharu.
”Perkongsian ini adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengubah tabiat membuang sisa makanan yang masih boleh dimakan.
”Dengan membuat makanan baharu daripada lebihan makanan ini, kita boleh membantu mengurangkan sisa dan pembaziran makanan di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohideen, mengelakkan makanan daripada dibazirkan ialah salah satu tindakan paling mudah untuk menjimatkan wang, mengurangkan karbon dan memulihara sumber.
Apatah lagi katanya, rakyat Malaysia pada tahun lalu membuang sebanyak 4,081 tan makanan yang masih boleh dimakan seperti yang didakwa SWCorp.
“Lebihan makanan seperti nasi, roti dan mi boleh ditukar menjadi makanan yang ringkas tetapi masih sesuai untuk dimakan.
”Menurut SWCorp, 24 peratus sisa makanan seperti lebihan sayur-sayuran dan daging yang dikumpul pada tahun lalu masih boleh dimakan,” katanya.
Tambah Mohideen, jumlah pembaziran makanan di Malaysia adalah mencukupi untuk memberi makan kepada 12 juta orang tiga kali sehari.
Situasi itu jelasnya, menunjukkan rakyat Malaysia sudah terbiasa membuang makanan tanpa berfikir dua kali, sekali gus menjadi tabiat buruk dalam kalangan rakyat.
”Oleh sebab itu, idea menukar lebihan makanan ini kepada makanan baharu boleh menjadi alternatif untuk menghentikan tabiat buruk ini.
”Nasi boleh ditukar menjadi nasi goreng atau ‘apam’ manakala lebihan roti boleh ditukar kepada puding roti, ‘bread finger’ dan sebagainya,” katanya. –UTUSAN