PETALING JAYA: Tinggalkan ibu tenat di rumah semata-mata ingin berjumpa teman lelaki dipercayai menjadi punca seorang perempuan ditampar, ditendang beberapa kali sebelum dilibas dengan selipar oleh seorang lelaki yang tular dalam media sosial sejak semalam.
Tampil menjelaskan kejadian itu, beberapa warganet dalam komen di Facebook turut mendakwa bahawa kedua-dua individu itu adalah adik-beradik kandung.
“Sebenarnya perempuan itu yang salah, dia bagi tinggal mamanya yang tengah sakit tenat sendiri di rumah semata-mata mahu jumpa teman lelakinya, jadi yang pukul dia itu abang kandungnya sendiri,” komen salah seorang pengguna Facebook, Mohammadzaidi Asnawi.
Video berdurasi 18 saat itu menunjukkan seorang remaja lelaki menampar muka remaja perempuan beberapa kali sehingga tertolak ke dinding sebelum menendang dan melibasnya dengan selipar berkali-kali.
Remaja perempuan tersebut dilihat menangis dan mengerang kesakitan di tepi dinding tanpa mampu berbuat apa-apa.
Video tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai termasuk selebriti tempatan yang turut berang mahukan keadilan untuk remaja perempuan itu.
“Nak je aku jumpa mamat ni,” komen Syafiq Farhain dalam Instagramnya syafiqfarhain.
“Dik mai dik, akak nak jumpa kejap dik. Nak sembang cerita arnab dan kura-kura jap,” kata Yana Samsudin pula melalui komen Instagramnya yanasamsudin.
Insiden terbabit turut meraih perhatian orang ramai yang rata-rata mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera siasat dan ambil tindakan terhadap remaja lelaki itu.
“Please PDRM ambil tindakan orang sebegini, ini bukan hiburan tetapi menunjukkan akhlak yang tak baik. Mana respek pada kaum wanita?” komen salah seorang pengguna Instagram, erulsamah.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya belum menerima maklumat sama ada kejadian benar-benar berlaku di Kota Kinabalu seperti dakwaan orang ramai atau sebaliknya.
Beliau turut meminta kerjasama semua pihak untuk tampil memberikan maklumat untuk memudahkan siasatan. –UTUSAN